Pagi ini saya terpanggil untuk membaca artikel oleh Phil Plait mengenai tompokan putih yang berada di kawasan kutub Pluto. Menurut beliau, tompok putih itu pernah kelihatan sebelum ini, namun foto LORRI terbaru bertarikh 2015-06-25 05:37:00 UTC ini semakin jelas menunjukkan ciri-ciri menarik tompok putih tersebut.
Perbandingan dengan foto yang dirakam 30 saat sebelum itu turut menunjukkan kehadiran tompok di kawasan yang sama di permukaan Pluto. Maka, ia tidak mungkin defect pada kamera atau artifact yang wujud akibat post-processing yang berlebihan.
Foto di bawah ialah imej asal dari data LORRI.

Photo by NASA/JHUAPL/SwRI
Foto di bawah pula, saya telah memuat turun foto asal di atas dan melakukan beberapa siri enhancement menggunakan perisian PixInsight. Ia juga telah dibesarkan sebanyak 10 kali.
Disebabkan foto yang disiarkan dalam format JPEG, maka agak susah untuk mendapatkan lebih banyak data di dalamnya. Agak terhad untuk melakukan sebarang enhancement.
Foto dibawah menunjukkan tompok putih yang dimaksudkan oleh Phil Plait tadi. Saya sendiri masih tidak berjaya mencarinya.

Photo by NASA/JHUAPL/SwRI
Sekali imbas, ia nampak serupa seperti tompokan putih misteri yang berada di permukaan sebuah lagi planet kerdil, Ceres, yang dirakam oleh peninjau DAWN ketika ini.
Mungkinkah ia tompokan ais yang membalikkan cahaya matahari?
Buat masa ini, peninjau New Horizons masih jauh dari Pluto, namun dalam masa 10 hari, saiz imej Pluto ini akan bertambah sebanyak 10 kali ganda lebih besar, dan jauh lebih jelas dari sekarang.
Tak lama lagi, kita bakal melihat buat pertama kalinya permukaan Pluto! Kalau ada yang masih tidak terasa keterujaan di dalam penerokaan ini, tak dapek nak nolongnya!
Bayangkanlah, setelah 9 tahun perjalanan ke sana, merangkumi jarak sejauh 5 bilion km, tinggal setapak sahaja lagi untuk kita sampai ke pintu hadapan planet kerdil yang menjadi satu-satunya jasad tunggal bersaiz besar yang belum diterokai oleh manusia sebelum ini.
والله أعلمُ