Banyak berita menarik yang berlaku seminggu dua ini. Di antaranya, bagaimana seorang anak Malaysia, Nur Adlyka Ainul Annuar, merupakan antara penyelidik yang menemui lohong hitam yang tersembunyi disebalik habuk dan debu di angkasaraya. InsyaAllah saya cuba mengulas sedikit kepentingan penemuan ini, dan rasanya biarlah rakan-rakan dari MajalahSains cuba menghubungi beliau untuk ditemuramah. Bab-bab temuramah ni pakcik tak reti.
Ada satu lagi berita yang cukup wow dan menarik perhatian sebahagian besar komuniti astronomi dunia, iaitu seorang profesor dari Calvin College, Larry Molnar bersama-sama dengan pelajar dan rakan penyelidiknya, telah meramalkan pada tahun 2022 nanti, kita akan dapat saksikan sebuah sinaran ‘bintang baru’ yang akan muncul cerah di langit!

Kedudukan bintang KIC 9832227 (bulatan merah) di kawasan buruj Cygnus. Sumber
Sekali imbas baca, ingatkan ia merujuk kepada supernova, sebuah fenomena di mana bintang itu sendiri meletup. Cuma masalahnya, adalah mustahil untuk kita ramalkan dengan tepat bilakah sesebuah bintang itu akan hancur sedemikian.
Jadi, apakah yang dimaksudkan oleh Molnar tadi? Sejauh mana kebenaran ramalan ini?
Kalau orang kita baca, ayat yang pertama keluar ialah “Ni semua pembohongan NASA bla bla bla”.
Sebelum kita melenting tak tentu arah, jom kita faham dahulu apa yang dikaji oleh Malnor ini.
Malnor dan pasukannya meramalkan pada tahun 2022 nanti, sebuah bintang di dalam buruj Cygnus, di langit utara kita, akan menjadi cerah berpuluh ribu kali ganda daripada kecerahan asal. Bintang ini akan meletus menjadi sebuah Red Nova!
Red Nova ialah sejenis letupan bintang yang baru sahaja dikenalpasti wujud oleh dunia astronomi, yang terjadi akibat bercantumnya 2 buah bintang menjadi satu.
Asbabnya ialah bintang itu sebenarnya sebuah sistem bintang kembar (2 bintang) yang mengorbit antara satu sama lain di dalam jarak yang amat dekat. Malah, jika kita dapat ‘melihat’ sistem bintang yang bernama KIC 9832227 ini, ia akan kelihatan seperti kacang tanah, seolah-olah bercantum di salah satu sisinya, kerana ia berkongsi lapisan atmosfera yang sama!
Pada 2013, Malnor telah menghadiri sebuah seminar astronomi dan tertarik dengan kertas yang dibentang oleh seorang ahi astronomi, Karen Kinemuchi, yang mengkaji perubahan kecerahan bintang KIC 9832227 tadi. Persoalan yang timbul pada ketika itu ialah, apakah yang menyebabkan bintang ini berubah-ubah kecerahannya? Adakah ia disebabkan ia sebuah bintang berdenyut (pulsating star) atau sebuah bintang kembar (binary star)?
Malnor pun membuat kajian lanjut, yang dibuat oleh salah seorang pelajarnya Daniel Van Noord ’14. Kajian yang dibuat cuba mencari kolerasi (hubungan) antara warna bintang dengan perubahan kecerahannya. Hasilnya ialah bintang ini memang sebuah bintang kembar (binary).

Model komputer sistem bintang kembar KIC 9832227. Sumber.
Dari situ, Daniel membuat kajian lebih lanjut dari data teleskop angkasa Kepler, yang telah dibentangkan oleh Karen tadi. Tujuan asal ialah untuk mendapatkan kadar putaran yang lebih jitu sistem bintang ini.
Mengejutkan ialah kadar putaran bintang dari data Kepler ini lebih singkat berbanding dengan data beberapa tahun sebelum ini! Ia seolah-olah berputar semakin pantas setiap hari!
Corak perubahan ini seolah-olah sama dengan sebuah lagi kertas kajian yang dibuat oleh ahli astronomi Romuald Tylenda, yang mengkaji perangai sebuah lagi bintang, V1309 Sorpii, yang mana bintang ini tiba-tiba ‘meletup’ menjadi sebuah red nova pada tahun 2008.
Kajian Romuald ketika itu menunjukkan corak yang sama, kadar putaran orbit kedua-dua bintang itu semakin meningkat!
Kertas kajian Romuald boleh didapati di sini.
Hasil daripada garapan maklumat inilah, Molner telah mempersembahkan penemuan ini di dalam mesyuarat American Astronomical Society pada Januari 2015, dan menyatakan bintang KIC 9832227 tadi besar kemungkinan akan mengikut jejak langkah bintang V1309 Scorpii tadi.
Kertas kajian Molner boleh didapat di sini.
Namun, seperti mana semua kajian sains, masih banyak pemerhatian dan hipotesis baru akan keluar. Di antara data terbaru yang dikumpul oleh Molner dan pasukannya selama 2 tahun sejak mesyuarat tadi, menunjukkan tidak ada bukti kukuh secara pemerhatian spektroskopi yang menunjukkan kewujudan 2 buah bintang dalam sistem bintang KIC 9832227 tadi. Selain itu, kadar putaran 2 bintang ini dilihat tidaklah menunjukan penurunan seperti yang dijangka.
Walaupun begitu, Molner yakin kajian percantuman 2 buah bintang patut diambil lebih perhatian sekarang, dan “jika benar bintang KIC 9832227 akan meletup menjadi Red Nova nanti, sekurang-kurangnya kita tahu apa yang menyebabkan ia berlaku”, ujar Molnar lagi.
Penemuan ini sungguh menarik kerana jika sebelum ini kita tidak tahu bilakah satu-satunya bintang akan tiba-tiba menjadi cerah akibat letupan besar, mungkin selepas ini kita dah boleh berkata dengan penuh yakin ayat-ayat seperti “… dekat situ tak lama lagi akan ada bintang meletup! ce tengok nanti!..”
Oh ya, lagi satu nak cakap:
- Profesor Calvin ni bukan kerja dengan NASA, dia kerja di Calvin College. (Jadi, jangan buruk sangka tak tentu arah)
- Jarak bintang KIC 9832227 ni 1800 tahun cahaya. (Jadi, jangan nak gelabah tular cerita ngarut-ngarut tak tentu arah)
Sumber:
Astronomers predict explosion that will change the night sky in 2022