
Keadaan Bulan ketika ia dalam fasa gerhana separa. Keadaan yang hampir serupa ketika fasa puncak gerhana pada bulan Ogos 2017 nanti. Foto dirakam oleh penulis pada 10 Disember 2011.
Dalam masa sebulan lagi, kita akan berpeluang menyaksikan Gerhana Bulan Separa yang akan berlaku pada awal tengah malam hingga ke Subuh, 8 Ogos 2017.
Kali terakhir kita di Malaysia dan Asia Tenggara telah menyaksikan gerhana bulan, sama ada separa atau penuh ini (NOTA: saya tidak mengambil kira gerhana bulan penumbra) ialah pada 4 April 2015.
Apa itu gerhana bulan separa?
Gerhana Bulan Separa berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari yang jatuh pada permukaan Bulan, telah terlindung oleh jasad Bumi kita.
Secara amnya, gerhana ini berlaku Bumi akan berada di antara Matahari dan Bulan. Walaupun ia nampak seperti sebaris, tetapi jika dilihat dari satah ‘tepi’, Bulan berada sedikit ke atas daripada garisan Matahari dan Bumi. Ini akan menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang Bumi.

Posisi Bulan yang sedikit ‘ke atas’ dari satah Matahari dan Bumi, menyebabkan hanya sebahagian sahaja yang akan terlindung dan memasuki kawasan bayang-bayang umbra Bumi. Kredit timeanddate.com
Maklumat penting Gerhana Bulan Separa kali ini.
Bulan akan berada di atas ufuk dan SELURUH MALAYSIA AKAN DAPAT MELIHATNYA.
Jadual di bawah adalah berdasarkan maklumat dari timeanddate.com.
Fasa Gerhana | Waktu Malaysia |
Permulaan masuk bayang-bayang penumbra | 7 Aug, 11:50 PM |
Permulaan masuk bayang-bayang umbra. Gerhana separa bermula | 8 Aug, 01:22 AM |
Kemuncak Fasa Gerhana Bulan Separa | 8 Aug, 02:20 AM |
Tamat gerhana separa. (Bulan sudah keluar dari bayang-bayang umbra) | 8 Aug, 03:18 AM |
Tamat gerhana penumbra (Bulan sudah keluar dari kawasan bayang-bayang penumbra) | 8 Aug, 04:50:56 |
- Keseluruhan FASA GERHANA SEPARA (Bulan berada di dalam bayang-bayang umbra) ialah selama 1 jam 55 minit.
- Bulan akan berada tegak dan sedikit ke arah barat, ketika bermulanya fasa gerhana separa.
- Bulan akan berada di kawasan buruj Capricornus.
Di bawah ialah simulasi fasa gerhana yang akan dapat dilihat nanti, bermula dari bermulanya fasa gerhana separa (ketika bulan memasuki kawasnan bayang-bayang umbra).
Adakah Bulan menjadi merah ketika gerhana nanti?
Oleh kerana kali ini ialah gerhana bulan separa, Bulan tidak akan ditutupi sepenuhnya oleh bayang-bayang Bumi. Ia TIDAK AKAN KELIHATAN KEMERAHAN.
Kita akan hanya dapat lihat sebahagian kecil bulan kelihatan ‘sompek’ atau ‘terpotong’ sahaja.
Simulasi di bawah yang menggunakan perisian Sky Safari 5 Pro, telah menandakan kawasan umbra sebagai warna merah, Hakikatnya dengan pandangan mata nanti, kita hanya akan dapat lihat warna hitam sahaja.

Fasa Gerhana Bulan Separa pada waktu kemuncaknya, ialah pada jam 2.20 pagi, 8 Ogos 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro.
Adakah saya perlukan sebuah teleskop untuk melihatnya?
Tidak perlu. Gerhana Bulan amat senang dan boleh dilihat dengan mata kasar sahaja. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai binokular atau teleskop, pemandangan akan lebih jelas dan menarik.

Gerhana Bulan pada OKtober 2014. Foto oleh Amirul Hazim
Bolehkah saya merakam fenomena ini menerusi kamera?
Secara amnya, kita BOLEH merakam permukaan Bulan dengan jelas, samada menggunakan kamera telefon bimbit yang mempunyai fungsi zoom yang kuat, ataupun kamera DSLR dengan lens zoom yang panjang, ataupun rakaman terus menerusi teleskop.
Bulan merupakan objek yang besar dan terang. InsyaAllah tidak ada masalah untuk merakamnya.
Di bawah ialah contoh foto fasa gerhana bulan penuh yang dirakam menerusi teleskop (F=500mm) dan kamera DSLR.
Adakah Bumi menerima sebarang kesan fizikal daripada fenomena ini?
Tidak. Gerhana Bulan ialah sebuah fenomena optikal sahaja. Ia tidak ada kesan langsung terhadap kehidupan di Bumi.
Bilakah gerhana bulan seterusnya?
Jika anda terlepas peluang menyaksikan gerhana bulan separa kali ini (mungkin disebabkan faktor cuaca atau tertidur!), janganlah risau. Tahun hadapan, 2018, kita di Malaysia akan sekali lagi berpeluang menyaksikan 2 KALI GERHANA BULAN PENUH, iaitu pada bulan 31 Januari dan 28 Julai 2018!

Petikan paparan skrin dari laman timeanddate.com mengenai gerhana bulan penuh pada tahun 2018 nanti. Sumber.