Quantcast
Channel: FALAKONLINE.NET
Viewing all 396 articles
Browse latest View live

Angin, palung, dataran luas, atmosfera yang terlucut – semuanya di Pluto!

$
0
0

Pluto terus menerus mengejutkan peminatnya.

Lewat tengah malam tadi (waktu Malaysia), sidang media oleh saintis New Horizons telah mempamerkan gambar terbaru permukaan Pluto, bulannya Nix dan penemuan penting mengenai atmosfera Pluto.


Dataran luas berbentuk poligon

 

Fokus kali ini ialah di kawasan berbentuk ‘love’, yang kini dikenali secara tidak rasmi sebagai Tombaugh Regio. Di kawasan tersebut, kelihatan seperti satu dataran luas, yang dipenuhi dengan begitu banyak bukit-bukit berbentuk poligon yang mempunyai kelebaran lebih kurang 20km setiap satu. Dataran ini diberi nama Sputnik Planum.

Sputnik Planum

Kawasan dataran berbentuk pligon, Sputnik Planum. NASA / JHUAPL / SwRI

Setiap ‘bukit’ ini dipisahkan oleh garisan seperti palung. Ada sesetengah palung itu gelap warnanya, dan ada yang mengandungi busut-busut tinggi di dalamnya.

“Kawasan ini tidak mudah untuk dijelaskan!”, komen saintis Jeff Moore dalam sidang akhbar tersebut.

Palung-palung itu mungkin wujud hasil proses pemejalwapan (sublimation), yang mana ais berubah dari keadaan pepejal  terus menjadi gas. Dalam kes Pluto, permukaannya diselaputi nitrogen, metana dan karbon monoksida yang beku.

Selain itu, di bahagian ‘love’ sebelah kiri, saintis telah menemui satu kawasan yang mana karbon monoksidanya banyak tertumpu di situ.

Kawasan tertumpunya Karbon Monoksida yang banyak

Kawasan tandaan hijau menunjukkan tertumpunya Karbon Monoksida yang banyak di situ. NASA / JHUAPL / SwRI

Berkenaan dengan bentuk poligon itu, ia mungkin wujud hasil dari proses perolakan (convection) dari bawah tanah. Namun kesemua ini masih terlalu awal untuk dibuat sebarang kesimpulan yang muktamad.


Angin di Pluto?

 

Selain itu, dalam gambar tersebut juga kelihatan beberapa tompokan hitam yang mempunyai bentuk jalur berkilometer panjangnya. Jalur-jalur hitam ini serupa seperti apa yang dilihat di Marikh. Ia mungkin gumpalan geyser yang mengeluarkan bahan-bahan dari bawah permukaan Pluto. Namun, masih terlalu awal juga untuk membuat sebarang spekulasi. Gambar-gambar akan datang yang lebih tinggi resolusinya akan memberi gambaran lebih jelas.

Jalur hitam yang kelihatan mungkin tanda pergerakan angin di Pluto

Jalur hitam yang kelihatan mungkin tanda pergerakan angin di Pluto . NASA / JHUAPL / SwRI

Namun, menarik di sini ialah besar kemungkinan ada wujud pergerakan udara seperti angin di permukaan Pluto yang menyebabkan bahan gelap ini tertolak ke satu arah yang konsisten.


Terbang di sekitar Morgay Montes

 

Dalam sidang akhbar itu juga, saintis New Horizons telah menunjukkan sebuah video simulasi yang membawa kita ‘terbang’ di kawasan pergunungan tempoh hari (yang kini diberi nama Norgay Montes) dan juga kawasan dataran Sputnik Planum tadi.

‘Penerbangan’ ini menggunakan data yang diperolehi daripada kamera Long Range Reconnaissance Imager pada jarak 77,000km. Menerusi video ini, kita boleh lihat kawasan sekecil 1 km!

Menarik di sini ialah, nama Morgay Montes ialah bersempena dengan nama sherpa dari Nepal, Tenzing Norgay, yang menjadi pendaki pertama (bersama-sama dengan pendaki British, Edmund Hillary)  mendaki Gunung Everest pada tahun 1953.


Atmosfera yang terlucut

 

Berkenaan dengan atmosfera Pluto, data awal menunjukkan angin suria yang datang daripada matahari, telah melucutkan atmofera Pluto yang didominasi oleh gas nitrogen, ke angkasa lepas dan membentuk ekor ion yang memanjang ke arah belakang Pluto (berlawanan arah dari matahari).

Seolah-olah macam ekor komet pulak!

Kajian menunjukkan kadar kehilangan atmosfera Pluto ialah sekitar 500 ton sejam! Namun, menurut saintis Fran Bagenal, data lebih terperinci akan diperolehi pada bulan Ogos nanti akan memberi gambaran lebih jelas.

Tebal atmosfera Pluto juga sekitar 1600km di atas permukaan Pluto! Agak tebal berbanding apa yang disangka sebelum ini!


Bulan Nix.

 

Salah sebuah bulan Pluto, bernama Nix, telah juga berjaya dirakam oleh New Horizons pada jarak 590,000km. Walaupun imej bersaiz 12 piksel ini tidaklah jelas, namun ia masih dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai bentuk Nix, yang mana kelihatan lebih sfera daripada apa yang dijangka sebelum ini. Nix mempuyai saiz sekitar 40km.

Bulan Nix pada jarak 590,000km

Bulan Nix pada jarak 590,000km. NASA / JHUAPL / SwRI

 

Sidang media seterusnya akan diadakan pada hari Jumaat depan.

Nampaknya Pluto ni tidaklah se-boring yang disangka. Ia kelihatan sungguh aktif dari sudut geologinya, walaupun terletak berbilion km jauh daripada matahari!

MasyaAllah! Hebat betul alam ciptaan Ilahi, untuk kita mempelajarinya!

 


Ada Komet melintasi berhampiran Zuhrah dan Musytari ketika ini

$
0
0
CKKiS7kWgAA6Do9

Komet PANSTARRS dari langit Chile. Sumber

Ketika ini, sebuah komet bernama C/2014 Q1 PANSTARRS boleh kelihatan di langit senja, rendah di ufuk barat.

Pada mulanya dijangka Komet PANSTARRS ini tidaklah secerah seperti sekarang, namun apabila saya perhatikan beberapa posting di komuniti astronomi dunia, didapati memang agak mudah untuk merakamnya.

Foto dibawah dirakam oleh Terry Lovejoy, ahli astronomi amatur terkenal dari Australia.

10649608_530510090434032_1715610300755985785_n

Komet C/2014 Q1 PANSTARRS berhampiran dengan Bulan, petang tadi. Dirakam oleh Terry Lovejoy. Sumber

Panduan di bawah ialah untuk pengguna DSLR sahaja. Saya jangkakan dengan suasana langit senja yang masih terang, adalah agak sukar untuk kita mengecamnya dengan mata kasar atau binokular, tapi kalau guna DSLR, InsyaAllah tiada masalah.

Kamera telefon bimbit? errr.. lagi ler tak nampak!


Kedudukan.

 

Kelebihan Komet PANSTARRS kali ini ialah ia akan melintasi hampir dengan Zuhrah dan Musytari. Jadi, kita boleh gunakan kedudukan 2 planet ini sebagai panduan mengecam kedudukan Komet ini dalam framing gambar kita.

Simulasi di bawah menunjukkan framing jika kita menggunakan kamera DSLR dengan lens 50mm. Kedudukan ketiga-tiga objek ini adalah ketika 30 minit SELEPAS Maghrib (matahari terbenam)

Waktu nak tengok komet ini amat singkat. Malah, jika Zuhrah dan Musytari dah hilang dari pandangan, alamatnya Komet ini pun dah terbenam di ufuk. Jadi, kenalah kejar awal sikit sebaik sahaja selepas Maghrib.

19 jul

19 Julai 2015

20 jul

20 Julai 2015

21 jul

21 Julai 2015

22 jul

22 Julai 2015

23 jul

23 Julai 2015

24 jul

24 Julai 2015

25 jul

25 Julai 2015

Ok, pertama sekali ingin ditegaskan di sini ialah, simulasi yang dibuat oleh perisian yang saya guna ini, Sky Safari Pro, ia memang tunjuk tepat kedudukan Komet tersebut, CUMA ekornya komet itu tidaklah sepanjang seperti yang digambarkan di atas.

Anda hanya perlu tumpukan kepada kedudukan ‘kepala’ komet itu sahaja, ketika merakam gambar nanti. Jangan confuse sangat dengan paparan ekor dalam simulasi di atas.


Tetapan Kamera

 

Berdasarkan beberapa panduan dari penggiat astrofotografi dalam komuniti astronomi dunia, cuba guna ISO yang tinggi, sekitar 200-400. Waktu dedahannya, buatlah sepanjang yang mungkin, bermula 10 saat hingga 30 saat. Aperture buatlah sebesar yang mungkin, kerana cahaya komet ini, walaupun saya kata cerah, tetapi ia terserak membentuk seperti kabus bulat.

Kita boleh bezakan antara bintang dan komet berdasarkan bentuknya. Bintang (atau planet) akan seperti satu titik yang kecil,padat dan terang. Manakala komet ini akan kelihatan seperti tompokan awan kecik.

Sebenarnya, untuk lebih dapatkan hasil lebih baik, kita kena buat beberapa siri exposure yang berulang-ulang, dan kemudian stacking. Tapi ini dah masuk bab intermediate dalam astrophotography, jadi saya elakkan dulu daripada membincang mengenainya.

Baiklah. Panduan ringkas sudah diberi. Jom cuba.

Tapi kena ingat, anda perlukan kamera DSLR untuk merakam komet ini, bukannya camera phone!

 

Earth 2.0 – Penemuan eksoplanet Kepler-452b yang hampir sama dengan Bumi

$
0
0
452b_artistconcept_comparisonwithearth

Lakaran artis menggambarkan saiz eksoplanet Kepler-452b, yang mana mempunyai saiz 60% lebih besar daripada Bumi. Credits: NASA/JPL-Caltech/T. Pyle

Ok, ok tajuk ini mungkin ‘menggemparkan’ ramai orang. Sebelum keluar sebarang spekulasi (orang kita ni suka baca tajuk je, isi tak baca!), jom kita hadam dahulu apakah yang telah diumumkan oleh ahli astronomi semalam.

NASA’s Kepler Mission Discovers Bigger, Older Cousin to Earth

Itulah tajuk yang terpampang di laman web NASA, selepas sidang media yang dilakukan lewat pagi tadi , 24 Julai 2015 (waktu Malaysia).

Menurut laporan tersebut, sebuah eksoplanet “bersaiz Bumi” telah ditemui oleh teropong angkasa Kepler. Menarik kali ini ialah,eksoplanet tersebut, yang dikenali dengan nama Kepler-452b, berada di dalam kawasan habitable zone di sekeliling sebuah bintang yang ‘hampir sama macam matahari”.

Habitable zone bermaksud kawasan orbit di kawasan bintang-bintang (termasuk matahari), yang mana suhunya sesuai sehinggalah membolehkan air wujud dalam bentuk cecair di permukaan sesebuah planet/eksoplanet.

Ok stop!!

Apo ko bondo eksoplanet? kan senang sebut planet je?

Eksoplanet (atau exoplanet) ialah istilah yang digunakan untuk membezakan planet yang mengelilingi bintang selain daripada matahari kita. Kalau kita sebut planet, maknanya ia berada di dalam sistem suria kita. Eksoplanet ialah planet di bintang lain di luar sistem suria kita.


Kepler-452b – apa cerita planetnya

Screen Shot 2015-07-24 at 10.53.19 AM

Perbandingan saiz Kepler-452b dan Bumi. Sumber asal.

Baiklah, kita tengok dulu ciri-ciri planet Kepler-452b ini dahulu.

Saiz = Ia mempunyai saiz 60% LEBIH BESAR daripada Bumi. Kiranya macam body dia tu gempal sikit la. Selalunya planet sebegini digelar super-earth.

Orbit = Ia mengelilingi bintangnya dalam jangkawaktu 385 hari. Kiranya dah nak dekat macam Bumi kita ni (365 hari).

Jarak dari bintangnya = Hanya 5% lebih jauh berbanding jarak Bumi ke Matahari.

Jisim dan Komposisi = Belum dapat dipastikan. Ia mungkin jenis berbatu, mungkin ada air, mungkin bergas. Teknologi kini masih belum mampu nak kenalpasti komponen ini.

Nampak gayanya, kalau tengok faktor saiz dan orbitnya pun, dah boleh dikira ‘kembar bumi’ dah!


Kepler-452 – apa cerita bintangnya

Screen Shot 2015-07-24 at 10.53.26 AM

Perbandingan saiz bintang Kepler-452 dan Matahari. Sumber asal.

Baiklah, sekarang kita lihat bintangnya pula.

Bintang yang dikelilingi oleh planet tersebut, dinamakan Kepler-452 merupakan sebuah bintang yang ‘hampir sama’ macam matahari kita.

Umur = Bintang Kepler-452 ialah 6 bilion tahun (berbanding matahari 4.5 bilion tahun)

Suhu = Suhunya lebih kurang sama seperti matahari

Kecerahan = Bintang ini menyinar 20% lebih terang daripada matahari.

Saiz = Bintang ini 10% LEBIH BESAR daripada matahari.

Nampak gayanya, untuk bintang Kepler-452 ini pun lebih kurang sama seperti matahari.

Menarik ni!

Kemudian, sambil menguyah roti canai teh tarik pagi tadi, saya melungsuri timeline twitter ahli-ahli astronomi dan saintis dan mendapat beberapa respon yang agak menarik seperti di bawah:

Ternyata di sini, walaupun penemuan Kepler-452b dianggap sungguh menarik di atas faktor-faktor yang saya nyatakan sebelum ini, masih banyak lagi persoalan yang belum dapat dijawab.

Berdasarkan tulisan Matthey R. Francis, pada tahun lepas, sebuah lagi eksoplanet, Kepler-186f, mempunyai saiz 11% sahaja lebih besar daripada Bumi, dan dia ni pun mengorbit dalam kawasan Habitable Zone . Maknanya, Kepler-186f ni sebenarnya LEBIH SERUPA dengan Bumi berbanding Kepler-452b.

Cuma masalahnya ialah, Kepler-186f ini mengorbit sebuah bintang kerdil merah (bintang tua nak mati dah), dan pada jarak yang sama (malah lebih dekat ) berbanding Utarid dengan matahari!

Maknanya, WALAUPUN Kepler-186f ini serupa macam bumi dari sudut saiz, namun faktor-faktor lain jauh berbeza dan sungguh asing. Ia mungkin tidak mempunyai atmosfera, ia juga mungkin mempunyai pusingan paksi yang sama masanya dengan pusingan orbit mengelilingi bintangnya, lalu meyebabkan separuh permukaannya selama-lamanya mengadap ke arah bintangnya, sementara separuh lagi selama-lama mengalami malam.

Begitu jugalah kes dengan eksoplanet Kepler-452b ni.

Walaupun saiz, jangka waktu orbit sama seperti bumi, dan berada dalam kawasan Habitable Zone, kita masih tidak tahu apakah yang sebenarnya berada di permukaannya.

 

kepler452b

Grafik menunjukkan eksoplanet-eksoplanet yang telah ditemui sebelum ini, dibandingkan dengan saiz Bumi.


Menurut Francis lagi, disebabkan eksoplanet ini 1.62 kali LEBIH BESAR daripada Bumi, maka ia mungkin jenis berbatu, dan memiliki tarikan graviti lebih kuat. Ini akan memberi kesan terhadap berapa TEBALNYA atmosferanya, serta jenis LAUTAN (jika ada la) yang ada di permukaannya.

Selain itu, Kepler-452b ini juga mungkin jenis planet bergas. Macam adik-beradik Neptune lah, tapi kecik sikit.. adik bongsu. Kalau bergas, maknanya tiada permukaan keras.

Hakikatnya, kita masih belum tahu kesemuanya!


Habitable Zone

 

Faktor Habitable Zone juga tidak menjamin sesebuah planet atau eksoplanet itu sama seperti Bumi.

Contoh paling jelas ialah planet Zuhrah kita ini. Ia sebenarnya berada dalam kawasan Habitable Zone di sekeliling matahari dan mempunyai sama saiz dan jisim seperti Bumi.

Namun, kalau kita tengok permukaannya pun langsung tak sama seperti Bumi. Ia planet paling panas, suhunya boleh mencairkan plumbum! Gas di udaranya ialah Karbon Dioksida. 100% dilitupi awan dan di sana hujan asid sulfurik!

Nampakkan? Zuhrah dan Bumi SAMA TAPI TAK SERUPA!

Poning den!

Namun, antara banyak-banyak calon, Kepler-452b inilah antara yang paling sesuai untuk dijadikan menantu atas pelbagai faktor yang dah dibincang tadi.

 

habitzone

Perbandingan saiz dan skala sistem bintang Kepler-452, dibandingkan dengan sistem Kepler-186 dan sistem Matahari kita. Credits: NASA/JPL-CalTech/R. Hurt


Fakta Menarik

 

Data

 

Walau apa pun, penemuan Kepler-452b ini merupakan langkah penting dalam misi teropong angkasa Kepler. Saya melihat statistik penemuan Kepler hingga ke hari ini (artikel ini ditulis) dan mendapati banyak faktor menarik.

4696 = Jumlah calon objek yang berpotensi ialah sebuah eksoplanet (belum confirm)

1033 = Bilangan eksoplanet yang dah disahkan wujud

300 = Bilangan eksoplanet yang berada dalam kawasan Habitable Zone

Scatter-gram_22July-Coughlin_RadOPe-THEN&NOW

Taburan data calon-calon eksoplanet sebanyak 4696 buah kesemua, pertambahnan sebanyak 521 sejak pengumuman penemuan terakhir bualn Jan 2015 lepas Credits: NASA/W. Stenzel

 

Jarak ke Kepler-452b

 

Jarak eksoplanet Kepler-452b ialah 1400 Tahun Cahaya daripada Bumi.

Jika terbang pada kelajuan kapal angkasa New Horizons (58,536 km sejam), kita akan sampai ke sana dalam masa 32 juta tahun sahaja.

Jem nak balik raya lagi teruk daripada ni! 😉

 


Kesimpulan.

 

Misi Kepler merupakan antara kajian terulung di dalam pencarian planet-planet atau eksoplanet di luar sistem suria kita. Walaupun dengan kemamuan teknologi yang terhad, kita masih mampu menemui begitu banyak eksoplanet menggunakan pelbagai kaedah yang kreatif.

Kepler-452b ialah salah satu daripadanya. Ia mungkin tidaklah sekecil seperti Kepler-186f, tetapi disebabkan faktor-faktor lain seperti jarak, saiz dan bintang yang di-orbit-nya, menyebabkan penemuan ini ‘agak menarik’.

Apa yang pasti, kita jangan terus buat andaian bahawa ‘bumi ke-2′ sudah ditemui. Saya khuatir ramai di antara kita ini cepat buat rumusan berdasarkan tajuk-tajuk berita tanpa memahami berita sebenarnya! Masih banyak lagi perkara yang belum pasti mengenai Kepler-452b ini sebelum ia layak digelar demikian.

Jom belajar lagi! Learning is fun!

Hendaklah kamu semua mengusahakan ilmu pengetahuan itu sebelum dilenyapkan. Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah dengan matinya orang-orang yang memberikan atau mengajarkannya. Seorang itu tidaklah dilahirkan langsung pandai, jadi ilmu pengetahuan itu pastilah harus dengan belajar. ( Ibnu Mas’ud r.a )

Wallahua’lam

Rujukan:

 

Ais, Glasier dan mengendap Pluto dari belakang!

$
0
0
nh-pluto-hazy-skies_0

Kredit NASA/JHUAPL/SWRI

Gambar terbaru Pluto sungguh menarik! Pandangan dari belakang planet tersebut, ketika New Horizons dalam perjalanan ‘keluar’ daripada Pluto menuju ke angkasaraya, menunjukkan silauan cahaya matahari yang diserakkan oleh atmosferanya!

Ia dirakam (Gambar atas) pada sekitar tengahari 16 Julai 2015 waktu Malaysia, apabila New Horizons memandang ke belakang seolah-olah ingin mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Pluto! Jarak kapal angkasa dari Pluto ialah lebih kurang 2 juta km dan ciri permukaan paling kecil yang boleh dilihat di sini ialah lebih kurang 19 km!

Menarik di sini ialah, kamera Long Range Reconnaissance Imager (LORRI), yang merakam gambar ini telah mengesan lapisan ‘jerebu‘ yang menyelebungi Pluto ini berbeza-beza ketebalan, ada kawasan yang menjulang tinggi hingga 130km, dan ada yang mencecah sekita 50km sahaja!

Pelik!

Ketika sidang media yang dibuat pada jam 2 pagi, 25 Julai 2015 (waktu Malaysia) tadi, Micheal Summers, penyelidik bersama New Horizons, dari George Mason University, Fairfax, Virgina menyatakan “jerebu yang dikesan dalam gambar ini merupakan elemen penting dalam kewujuan sebatian hidrokarbon yang kompleks, yang menghasilkan warna kemerahan di permukaan Pluto”

Para saintis sebelum ini mengaggarkan suhu di sana terlalu ‘panas’ untuk jerebu atau kabus ini wujud pada ketinggian melebihi 30km. Penemuan baru ini menyebabkan saintis perlu memikirkan model baru tentang bagaimana ia boleh terjadi sedemikian rupa di Pluto.

nh_02_summers_01b_hazeimage

Kredit NASA/JHUAPL/SWRI

Foto di atas menunjukkan (dalam kotak kecil), warna palsu atau false colour lapisan atmosfera Pluto ini, jelas menunjukkan adanya kepulan-kepulan berbeza ketebalan dalam kawasan tersebut.

Warna palsu bermaksud, saintis telah menggunakan tandaan warna berlainan untuk menunjukkan perbezaan sesuatu ciri. Contohnya dalam kes ini, warna merah menunjukkan jerebu lebih tebal berbanding warna kuning dan seterusnya. Ia bukanlah warna sebenar, jadi diharapkan jangan keliru.

Emily Lakdawalla telah menyatakan gambar Pluto dari belakang ini sama seperti apa yang dilihat oleh kapal angkasa Cassini apabila ia memerhatikan bulan terbesar planet Zuhal, iaitu Titan.

20150724_titan_pluto_comparison_f840

Gambar di atas menunjukkan kiri (bulan Titan) dan kanan (Pluto) pada sudut 165º di belakang kedua-dua objek. Nampak benar persamaan, yang mana kedua-duanya mempunyai atmosfera yang telah menyerakkan cahaya matahari.

Menurut Emily, saiz Pluto dan Titan telah disesuaikan mengikut skala sebenar.

Titan lagi besar dari Pluto tu!!


Ais mengalir di permukaan!

 

Satu lagi penemuan yang diumukan semalam ialah ada bukti jelas yang menunjukkan wujud pergerakan ais di permukaan Pluto!

Menurut John Spencer dari SwRI, aktiviti pergerakan ais sebelum ini hanya dapat dilihat di Bumi dan Marikh sahaja!

Maknanya, Pluto tidaklah statik dan dipercayai masih berubah secara geologi hingga kini!

Bayangkan, kalaulah ada angkasawan di permukaan Pluto, dia akan dapat lihat ais, seperti glasier, perlahan-lahan bergerak di hadapannya!

nh_04_mckinnon_02c

Kredit NASA/JHUAPL/SWRI

Gambar di atas, menandakan kawasan di mana wujud bukti ais sedang mengalir atau bergerak. Cuma dalam kes Pluto ini, ais itu bukanlah air. tetapi sebenarnya ais Nitrogen!

Di sana suhunya terlalu sejuk hinggakan Nitrogen tu boleh wujud dalam bentuk ais dan mungkin juga cecair, di atas permukaann. Kalau kat Bumi ni, Nitrogen tu bila letak atas meja, terus meruwap jadi gas kerana suhu Bumi ni panas.

Kawasan dalam gambar di atas terletak di kawasan ‘love’ atau ‘jantung’ yang sebelah barat Pluto.


Warna-warni Pluto!

 

nh_03_olkin_01

Kredit: NASA/JHUAPL/SwRI

 

Eh! Pluto warna-warni cam gitu ke?

Sebenarnya tidak. Warna dalam gambar di atas sebenarnya mewakili perbezaan komposisi dan struktur permukaan Pluto. Digelar sebagai enhanced color image, saintis menggunakan kaedah ini untuk mendapatkan gambaran ‘lebih jelas’ tentang apa yang berlaku di sana.

Jelas di sini, beberapa ciri menarik dapat dilihat.

Kawasan paling gelap ialah di sekitar khatulistiwa Pluto, manakala yang agak terang sikit di kawasan latitud pertengahan. Paling cerah ialah di kawasan kutub (bahagian atas).

Saintis beranggapan corak ini menunjukkan bagaimana ais-ais di Pluto berubah kedudukan dari kawasan khatulistiwa menuju ke kutub ketika perubahan musim berlaku di sana. (Samalah kes macam di bumi, di mana ketika musim sejuk, salji banyak turun ke kawasan negara latitud pertengahan, tetapi menghilang apabila masuk musim panas).

Menarik lagi di sini ialah, kawasan ‘love’ atau jantung Pluto itu tidak ikut ciri-ciri persekitarannya yang lain.

Ia agak unik.

Saintis percaya kawasan ini mungkin ’empangan ais’. Menerusi data yang diterima daripada instrumen bernama Ralph,  kawasan ini kaya dengan nitogen, karbon monoksida dan metana.. tetapi semuanya dalam bentuk ais!

Menurut Bill McKinnon, dari Washington University di St. Loius, suhu di Pluto sungguh rendah -234º C (bawah paras beku!), ais-ais ini boleh mengalir seperti glasier!

Itulah antara sedikit sebanyak maklumat daripada sidang media pagi tadi. Percaya atau tidak, ini baru permulaan! Kita masih belum dapat kesemua data daripada New Horizons ini.

Namun, jika kita tak sabar-sabar lagi dan tak mahu tunggu, boleh muat turun sendiri gambar-gambar RAW (yang belum di proses).

Akhir sekali, saya sisipkan gambar warna beresolusi tinggi di kawasan ‘jantung’ atau Tombaugh Regio yang didapati dari sumber ini.

Tu dia! MasyaAllah

CKuWAdAWsAAreyA


Rujukan

 

Penerangan di sebalik nama Blue Moon

$
0
0

Screen Shot 2015-07-30 at 12.24.01 PM

Blue Moon merupakan isitilah yang cukup popular di laman-laman sosial. Begitu banyak variasi cerita dan meme telah muncul sana-sini, yang mana ada yang betul, dan ada yang kurang tepat.

InsyaAllah artikel ringkas ini akan menceritakn sedikit berkenaan dengan fenomena Blue Moon


Betul ke Bulan menjadi biru?

 

Fenomena Blue Moon ini bukanlah bermaksud warna Bulan itu menjadi biru! Anggapan itu agak mengelirukan ramai orang, dan ramai mula tertanya-tanya dan takut tak tentu pasal.

Secara umumnya, Blue Moon ada 2 maksud yang popular.


Maksud Pertama – Fasa Bulan purnama yang kedua muncul, dalam satu-satu bulan kalendar.

 

Contohnya, dalam bulan Julai 2015 ni, ada 2 kali fasa bulan purnama berlaku:

  • 2 Julai 2015
  • 31 Julai 2015

Screen Shot 2015-07-30 at 1.18.20 PM

Jangan rasa pelik pulak. Kita kena ingat, dalam sebulan kalendar masehi/miladi.. ada 30 atau 31 hari dalam sebulan (kita tolak dulu 28 hari tu).

Dalam bulan Hijri, ada 29-30 hari dalam sebulan.

So, AKAN ADA SATU TARIKH di mana fasa Bulan Purnama jatuh pada awal bulan, dan 29 atau 30 hari kemudian , sekali lagi Bulan Purnama dalam bulan yang sama.

Jadual di timeanddate.com ada menyenaraikan tarikh fasa-fasa bulan utama.

Sejarahnya

 

Al-kisahnya, seoarang peminat astronomi James Hugh Pruett telah menulis sebuah artikel dalam majalah Sky And Telescope pada tahun 1946 (errr… ni memang sebelum merdeka tau).

Dia tersilap faham dan mengatakan fasa bulan purnama yang kedua dalam satu-satu bulan kalendar, ialah Blue Moon.

Kesilapannya telah diperbetulkan kemudian, namun terlambat kerana ia dah tersebar ke seluruh dunia!

Zaman dulu pun ada viral gak!

Mungkin sebab istilah ini senang sebut dan agak popular, maka ia melekatlah sampai hari ini.


Maksud Kedua – Fasa Bulan Purnama yang ke-3 dalam satu-satu Musim atau Astronomical Seasons.

 

Ok, ni nak faham pening sikit. Kita tengok slow-slow.

Dalam setahun kita ada 4 musim

Satu musim ada 3 bulan.

So, kalau gitu, dalam masa 3 bulan tu, akan ada 3 kali fasa bulan purnama. Itu memang logik dan senang nak faham.

Ok, kemudian kita kena ingat yang sebulan dalam kalendar masehi/miladi ini ada 30 atau 31 hari. Maka, AKAN ADA SATU KETIKA, fasa bulan purnama yang KEEMPAT akan wujud dalam jangka waktu MUSIM YANG SAMA.

So…. bila Blue Moon nya?

Jawapannya ialah fasa Bulan Purnama yang KETIGA

ARghhhhhhh… tak faham!

Ok. ok cuba tengok bawah ni. Katalah dalam SATU MUSIM PANAS, bermula dalam JUN, JULAI , OGOS.

Senario 1:

Screen Shot 2015-07-30 at 1.18.07 PM

Dalam bulan Jun = Fasa bulan purnama berlaku pada pertengahan bulan

Dalam bulan Julai = Fasa bulan purnama berlaku pada pertengahan bulan

Dalam bulan Ogos = Fasa bulan  purnama berlaku pada pertengahan bulan

Ok, tu semua fahamkan. 3 bulan = 3 fasa purnama

Kemudian akibat jumlah hari dalam sebulan Hijrah kurang 1 atau 2 hari berbanding sebulan Masehi/Miladi.. so lama-kelamaan fasa bulan purnama tu akan bergerak ke awal bulan… sampailah dia jadi begini

Senario 2

Screen Shot 2015-07-30 at 1.18.13 PM

bulan Jun = Fasa bulan purnama berlaku AWAL bulan

bulan Julai = Fasa bulan purnama berlaku AWAL bulan

bulan Ogos = Fasa bulan purnama berlaku AWAL bulan

DAN

bulan Ogos = Fasa bulan purnama berlaku SEKALI LAGI pada HUJUNG bulan

Jadi kita nampak, pada senario ke-2 di atas, fasa bulan purnama yang berlaku pada AWAL bulan Ogos itulah yang digelar Blue Moon

OOOooooOoOoooooO


Mana satu yang betul?

 

Berdasarkan timeanddate.com , definisi yang betul ialah yang KEDUA iaitu  Fasa Bulan Purnama yang ke-3 dalam satu-satu Musim atau Astronomical Seasons.

Cuma yang PALING POPULAR ketika ini ialah definisi yang PERTAMA iaitu  Fasa Bulan purnama yang kedua muncul, dalam satu-satu bulan kalendar.


Kesimpulan

 

Maka, jelaslah di atas, istilah BLUE MOON tiada ada kena mengena dengan perubahan warna fizikal Bulan ketika itu.

Ia hanyalah gelaran terhadap fasa bulan purnama yang memenuhi definisi-definisi yang diterangkan di atas.

Namun, tidak mustahil bulan boleh berubah menjadi warna biru.

Syaratnya kena ada debu-debu halus yang bersaiz 0.7 micron yang terapung-apung di udara.

Bila benda tu boleh berlaku? 

Ia boleh terjadi apabila ada berlakunya letusan gunung berapi. Contoh yang pernah berlaku ialah ketika Gunung Krakatoa. Indonesia (1883). El Chichon, Mexico (1983), Gunung St. Helens (1980) dan Gunung Pinatubo (1991).

Oleh itu, diharapkan janganlah sebarlah maklumat yang tak betul, meme yang pelik-pelik. Berhujahlah dengan maklumat yang betul.

Bak kata guru Falak saya,  “Belajar Berilmu!”

Wallahua’lam

Rujukan lain:

Eksoplanet jenis berbatu yang paling hampir dengan Bumi ditemui

$
0
0
PIA19831_ip

Lakaran artis menunjukkan bayang sebuah planet berbatu yang digelar HD 219134b, ketika ia melintasi di hadapan bintangnya. Sumber

Baru-baru ini sebuah eksoplanet yang hampir ‘serupa’ dengan bumi, Kepler-452b telah ditemui dalam data-data yang dikumpul oleh peninjau angkasa Kepler.

Minggu ini, ahli astronomi telah menjumpai sebuah lagi  eksoplanet ‘berbatu’ yang amat hampir dengan bumi, iaitu pada jarak 21 Tahun Cahaya sahaja.

‘Berbatu’ di sini bermaksud, ciri fizikalnya menunjukkan ia keras dan berbatu seperti Bumi.

Eksoplanet yang diberi nama HD 219134b, didapati mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Kedudukan dari Bumi ialah 21 Tahun Cahaya
  2. 4.5 kali ganda lebih besar daripada Bumi. Layak digelar Super Earth
  3. Ia melengkapi orbit di sekeliling bintangnya dalam masa yang amat singkat iaitu 3 hari sahaja!
  4. Disebabkan ia terlalu hampir dengan bintangnya, dipercayai permukaan planet HD 219134b terlalu panas untuk kehidupan.

Selain daripada itu, dalam sistem bintang ini, eksoplanet HD 219134b bukan berseorangan. Ada 3 lagi eksoplanet lain yang berada di sekitar orbit.

  1. Sebuah planet 2.7 kali ganda lebih besar dari Bumi dan mengorbit setiap 6.8 hari
  2. Sebuah planet 9 kali ganda lebih besar dari Bumi dan mengorbit setiap 47 hari
  3. Sebuah planet 62 kail ganda lebih besar dari Bumi dan mengorbit setiap 1190 hari.

Bintang yang diorbit eksoplanet-eksoplanet tersebut ‘sejuk sikit’ dan ‘kecil sikit’ berbanding matahari kita, dan terletak dalam buruj Cassiopeia.

SkySafari_4_Pro 2

Kedudukan bintang HD 219134 dari langit Malaysia. Berhampiran dengan buruj Cassiopeia di langit utara. Simulasi Sky Safari Pro


Penemuan

Planet ini ditemui menerusi alat bernama HARPS-North, yang diletak pada teleskop bersaiz 3.6 meter, Telescopio Nazionale Galileo,  di Kepulauan Canary.

Harps-figure2

Instrumen HARPS-N (High Accuracy Radial velocity Planet Searcher in North hemisphere) yang digunakan dalam penemuan ini

Apa yang alat ini buat ialah ia melihat kesan ‘pergerakan’ bintang-bintang dilangit, hasil daripada permainan tarikan graviti antara bintang dan planet-planetnya.

Rujuk artikel How Do Astronomers Find Other Planets? yang menjelaskan bagaimana ahli astronomi mencari planet-planet di luar sistem suria kita.

Harps-figure-TNG

Balai cerap Telescopio Nazionale Galileo di Kepulauan Canary.

Data-data yang dikumpul di sini, telah diperkukuhkan menerusi cerapan sebuah lagi teleskop Spitzer Space Telescope.


Paling hampir?

Uniknya planet HD 219134b ialah ia merupakan eksoplanet berbatu yang paling hampir dengan Bumi. Ia bakal menjadi “eksoplanet paling kerap dicerap dan dikaji untuk berdekad-dekad akan datang” menurut saintis Michael Werner dari NASA’s Jet Propulsion Laboratory di Pasadena, California.

Jaraknya 21 Tahun Cahaya itu, andaikata kita menaiki kapal angkasa New Horizons, kita akan sampai ke destinasi dalam masa lebih kurang 480,000 tahun sahaja.

Namun, ia bukanlah eksoplanet yang terdekat dengan Bumi.

“Juara” paling hampir dengan Bumi jatuh kepada sebuah eksoplanet bernama GJ67b, sebuah eksoplanet yang belum dapat dikenalpasti komposisinya (samada berbatu atau bergas). Ia terletak pada jarak 14.8 tahun cahaya daripada Bumi ( atau lebih kurang 338,000 tahun untuk sampai dengan kelajuan kapal angksa New Horizons).

😀

Penemuan baru ini rasmi dan telah diterima untuk penerbitan dalam jurnal Astronomy & Astrophysics.

Rujukan:

Jawapan mengenai Meteor yang anda perlu tahu

$
0
0
11836430_888010504586243_2092224915_o

Sebuah meteor dirakam di Kg Sungai Padang, Papar, Sabah oleh ahli astrofotografi Harris Jeffrey


Sebelum ini, saya telah pun menulis banyak artikel berkenaan dengan meteor menerusi laman web ini.

Namun, dengan bertambahnya masyarakat yang semakin meminati astronomi kebelakangan ini, saya rasa terpanggil untuk menulis satu lagi artikel Q&A khas mengenai meteor secara umum, dan cuba menjawab persoalan yang muncul di hati sanubari anda!

Jika ada persoalan lain yang tertinggal, mohon jasa baik anda untuk memaklumkan kepada saya, InsyaAllah akan cuba ditambah di sini.

Semoga bermanfaat.


Apakah sebenarnya meteor?

Meteor atau tahi bintang, merupakan cahaya terang yang kelihatan melintasi langit malam dengan begitu pantas dan secara tiba-tiba.

Ia merupakan habuk dan debu (selalunya sebesar pasir) yang terbakar apabila ia memasuki ke dalam atmosfera bumi kita.


Apa beza meteor dan meteoroid?

Meteor ialah lintasan cahaya yang dapat dilihat dengan mata kasar.

Meteroid ialah nama yang diberikan kepada debu dan habuk, yang telah terbakar tadi ketika ia memasuki atmosfera bumi.


Apa pula meteorit?

Meteorit ialah saki baki habuk dan debu meteoroid tadi, yang tidak sempat hancur di udara, lalu jatuh ke permukaan bumi.

Maksudnya, jika kita boleh jumpa dan pegang ‘ketulan’ debu dan habuk tadi, kita panggilnya sebagai meteorit.

Ini contoh meteorit yang jatuh ke bumi. Sumber


Dari mana asalnya meteoroid?

Meteoroid berasal daripada serpihan Komet.

Komet merupakan sebuah jasad yang terdiri daripada batu,debu dan ais.

Ia mengelilingi matahari di dalam bentuk orbit yang elips.

Pada ketika ia bergerak menghampiri matahari, ia menjadi semakin panas dan sebahagian daripada jasadnya akan hancur dan terpisah ke angkasa lepas.

Bahagian yang terpisah ini akan tertinggal di belakang laluan komet tersebut, seolah-olah membentuk satu ‘jalanraya’ yang penuh dengan habuk dan debu.

Apabila orbit Bumi memasuki ke kawasan ‘jalanraya’ peninggalan komet tadi, debu dan habuk tersebut akan berlanggar dan memasuki ke dalam atmosfera bumi.

Ketika ia memasuki ke dalam atmosfera, ia menghasilkan tenaga dan haba yang amat panas, lalu terbakar dan hancur. Ketika ia terbakar, cahayanya akan kelihatan melintasi langit dalam kadar yang amat cepat. Itulah yang kita panggil sebagai meteor.


Apabila saya merujuk kepada Almanak Astronomi 2015, didapati meteor-meteor ini muncul pada tarikh-tarikh tertentu. Kenapa ye?

 

Jika kita lihat penerangan sebelum ini, meteoroid-meteoroid di angkasa lepas, majoritinya hanya akan berada di laluan atau ‘jalanraya’ kawasan laluan kometnya.

Ruang angkasa kita ini amat luas dan kosong sekosongnya. Maka, pada waktu biasa di mana Bumi bergerak di kawasan yang ‘kosong’, ketika itu tidak banyak meteor yang kelihatan di langit.

Namun, apabila Bumi masuk sahaja ke kawasan yang penuh dengan habuk dan debu meteoroid tadi, akan kelihatan banyak meteor yang muncul di langit.

Itu sebabkan kemunculan meteor-meteor ini bermusim.


Di manakah meteor ini akan muncul?

 

Meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana sahaja di langit. Adalah sukar untuk kita mengagak bila dan di mana ia akan muncul.

Maka, kita digalakkan untuk tumpukan ke satu kawasan langit sahaja ketika mencerap meteor.

Tak perlu kelam kabut tengok kiri kanan atas bawah…memang tak jumpanya!

Video dibawah merupakan contoh keadaan sesebuah meteor ketika ia muncul di langit.


Berapa banyak meteor yang boleh dilihat?

 

Jumlah meteor yang dilihat bergantung kepada faktor-faktor berikut:

  • Musim juraian meteor yang dilihat ketika itu. Contohnya juraian meteor Perseids akan menghasilkan kadar meteor 100 meteor sejam, berbanding juraian meteor Orionids yang hanya menghasilkan 20 meteor sejam.
  • Lokasi kita mencerap meteor – dari kawasan gelap kebarangkalian untuk melihat meteor yang banyak, adalah lebih baik berbanding cerapan dari kawasan yang banyak lampu.

Gambar hiasan: Meteor-meteor yang dirakam hasil gabungan berpuluh-puluh frame gambar yang dirakam sepanjang malam.


Apa yang dimaksudkan dengan “kadar meteor”?

 

Kadar meteor merujuk kepada jumlah purata meteor yang dapat dilihat dalam masa 1 jam DAN titik punca (radiant) meteor tersebut berada tepat di atas kepala.

Sebagai contoh, meteor Perseids yang menghasilkan 100 meteor sejam.

Ini bermakna , dalam kes SEMPURNA seperti di atas, kita boleh lihat 100 meteor dalam satu jam.

Namun, kedudukan titik punca  (radiant) meteor Perseids dari langit Malaysia TIDAK AKAN berada di atas kepala. Maka, jumlah 100 itu akan berkurang.

Itu pun belum lagi ambil kira faktor cuaca, langit sekeliling dan lain-lain.

Amnya, kadar meteor ini hanya sebagai panduan asas. Realitinya banyak bergantung kepada faktor-faktor luaran tadi.

Dalam istilah astronomi, kadar meteor ini dipanggil sebagai Zenithal Hourly Rate (ZHR).


Radiant tu amende pulak?

 

Radiant itu bermasuk titik atau poin di langit, di mana meteor-meteor ini ‘kelihatan’ mula muncul.

Contoh laluan meteor-meteor di langit akan kelihatan bermula atau muncul dari satu titik di langit, yang dipanggil radiant


Apakah cara yang terbaik untuk melihat meteor ini?

 

Cara terbaik (malah satu-satunya cara) untuk melihat meteor ini ialah dengan menggunakan mata kasar.

Anda hanya perlu baring dan pandang ke kawasan langit.

Disarankan fokus kepada satu kawasan langit sahaja.

Seboleh-bolehnya kawasan langit yang paling gelap jauh daripada silauan cahaya.

Gambar hiasan: Keadaan terbaik untuk mencerap meteor.


Perlukan saya tengok ke arah radiant di mana meteor itu muncul?

 

Secara peribadi, saya syorkan anda tak perlu fokus sangat ke arah radiant (kawasan titik ia muncul) juraian meteor tersebut.

Adalah lebih baik halakan ke mana-mana kawasan langit yang paling gelap, tak kisahlah sama ada dekat dengan radiant, mahupun berlawan arah jauh daripada titik radiant.

Yang penting, kawasan langit di situ mesti segelap yang mungkin.


Di manakah kawasan terbaik untuk melihat meteor?

 

Cuba cari kawasan gelap, yang tiada gangguan cahaya sama ada dari lampu persekitaran (lampu jalan, rumah berhampiran dll) dan juga jauh dari kawasan bandar-bandar besar.

Sebarang gangguan cahaya akan menyebabkan meteor-meteor itu susah untuk dilihat dengan mata.

Anda kena cari kawasan lapang yang tiada gangguan penglihatan seperti pokok dan bangunan tinggi. Kawasan tepi pantai mengadap ke laut merupakan antara kawasan yang sesuai.

(Gambar hiasan) Langit di bandar-bandar besar tidak memungkinkan kita melihat meteor. Carilah kawasan yang lebih gelap.


Puas semalam saya tengok dari tepi tingkap rumah dalam bilik gelap , cuba cari meteor tapi tak nampak. FO tipu ke ni?

 

err….

Nak tengok meteor ini kena ada caranya!

Peruntukkan sekitar 2-3 jam untuk memandang ke arah langit dalam keadaan berbaring di kawasan luar rumah!

Kalau sekadar menjenguk ke langit seminit dua kemudian terus complain tak nampak… itu bukan kaedahnya.

Orang nak makan nasi minyak pun kena tunggu, bersabar dan ada cara untuk memasaknya.


Jika cuaca berjerebu dan berawan?

 

Meteor-meteor tidak akan dapat dilihat jika langit anda berawan tebal ataupun berjerebu, ataupun hujan!


Bilakah waktu paling sesuai untuk mencerap meteor.

 

Disebabkan kombinasi laluan orbit Bumi ketika ia menghentam habuk dan debu di angkasa, serta pusingan paksi bumi dari barat ke timur, maka waktu paling sesuai untuk mencerap meteor ini adalah SELEPAS TENGAH MALAM hinggalah ke SUBUH.

through-the-dust-trail-4

Rajah ini menunjukkan mengapa meteor-meteor lebih sesuai dicerap selepas waktu tengah malam hingga ke Subuh. Sumber.


Saya cuba melihat meteor berdampingan dengan Bulan di langit, tapi tak nampaklah. Kenapa ye?

 

Bulan merupakan ‘musuh utama’ meteor! Cahaya bulan amat terang dan boleh menenggelamkan sebarang cahaya yang muncul dari meteor-meteor ini.

Kena ingat, majoriti meteor yang muncul tidak begitu terang. Hanya satu dua sahaja yang akan muncul dengan begitu terang, itu pun bergantung kepada rezeki kita!

Maka, jika Bulan ada di langit, maka waktu itu tidak sesuai untuk mencerap meteor.


Perlukah saya membeli teleskop atau binokular untuk melihat meteor?

 

Tak perlu. Meteor hanya boleh dan sesuai dilihat dengan mata kasar sahaja.


Jika hendak ambil gambar, apakah lens yang paling sesuai?

 

Disebabkan meteor-meteor ini muncul merata di seluruh langit, seeloknya gunalah lens wide-angle dan juga fish-eye, kerana kita cuba merakam sebanyak mungkin kawasan langit dalam satu-satu waktu.

Kit lens yang datang dengan DSLR tidak begitu sesuai, kerana medan penglihatannya terhad.

Ingat! Meteor ini muncul di mana-mana. Maka kita perlu merakam langit seluas yang mungkin.

coona meteor2

Meteor dari langit Coonabarabran, Australia. © Shahrin Ahmad

Foto di atas dirakam di Australia ketika saya sedang ber-posing di hadapan sebuah teleskop. Kebetulan ketika sedang menunggu dedahan 30 saat tamat, tiba-tiba muncul sebuah meteor di belakang!

Inilah dinamakan rezeki!


Apakah tetapan (settings) paling sesuai untuk kamera?

 

Gunalah waktu dedahan yang paling lama, sebagai contoh 30 saat.

Kemudian gunalah ISO yang paling tinggi tetapi tidak menghasilkan terlampau banyak hingar (noise) di dalam imej yag dirakam.

Bab ISO ini bergantung kepada jenis model kamera yang digunakan. Contohnya kamera Canon 1200D menggunakan ISO=1600 akan menghasilkan lebih banyak hingar berbanding Canon 5DMkii pada ISO yang sama.

Setelah mendapat tetapan waktu dedahan dan ISO yang paling sesuai, disarankan untuk merakamnya sebanyak yang mungkin, selagi cukup kapasiti memory card dan juga bateri masih berkuasa.

Contoh sebuah intervalometer

Kalau boleh, belilah intervalometer, alat yang membolehkan kita melakukan tetapan kamera dan mengulang-ulang rakamannya secara automatik.

Sebuah meteor yang secara tidak sengaja dirakam menerusi DSLR dengan waktu dedahan 30 saat. ©ShahrinAhmad


Cameraphone boleh ambil gambar meteor?

 

hmmm… tak payah sangat! 

Bayangkanlah, meteor itu pun muncul secara tiba-tiba dan kelihatan hanya 1-2 saat sahaja. Waktu itu pun dah terlalu singkat untuk kita:

  • Terjerit nampak meteor
  • On handphone
  • Pilih apps Camera
  • Halakan ke langit.
  • Tekan screen untuk cari fokus
  • Tekan butang rakam

!!


Saya pernah nampak sebuah cahaya melintasi langit, terang seperti meteor. Kawan saya pun nampak dan kita sempat ambil gambar selfie bersama meteor itu!

 

err…. kalau dah senario macam itu, jelaslah itu bukan meteor. Ia mungkin kapal terbang atau Internatioal Space Station sedang melintas.

Kena ingat, meteor ini muncul secara tiba-tiba dan hilang secara tiba-tiba.

Contoh:

Dibawah merupakan gambar lintasan cahaya berhampiran Zuhrah dan Musytari, yang dirakam pada 25 Jun 2015.

Sekali imbas nampak seperti meteor, tetapi ia sebenarnya sebuah kapal terbang, kerana ciri-ciri cahaya kapal terbang dan cahaya meteor berbeza.

Cahaya sebuah meteor

  1. Tajam di salah satu (atau kedua-dua) hujung depan dan belakang dan gemuk di tengah-tengah
  2. Lurus

Cahaya sebuah Kapal Terbang

  1. Ketebalan garisan cahayanya konsisten dari hujung ke hujung.
  2. Mesti ada lampu warna merah yang bercahaya secara berkala di ‘sepanjang’ garisan utamanya.
  3. Tidak lurus (akan bengkok sikit mengikut laluannya di langit)
Screen Shot 2015-08-04 at 11.06.02 AM

Lintasan cahaya kapal terbang yang dirakam dalam masa waktu dedahan 10 saat. © Shahrin Ahmad

 

Screen Shot 2015-08-04 at 11.06.15 AM

Foto yang sama, tetapi telah didekatkan ke kawasan garisan kapal terbang. © Shahrin Ahmad


Kenapa nama meteor ini macam pernah dengar je?

 

Secara amnya, dalam kes musim juraian meteor ini, ia akan kelihatan muncul dari kawasan buruj tertentu di langit. Itu sebabnya nama juraian meteor ini agak mirip dengan nama buruj.

Contoh:

Orionids = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Orion

Perseids = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Perseus

Leonids = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Leo

Geminids = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Gemini

Namun, ada juga nama juraian meteor itu agak pelik dan tidak mengikut pola susunan nama seperti di atas. Contohnya:

Eta Aquarids = meteor-meteor yang muncul dari kawasa berhampiran bintang Eta Aquarids dalam buruj Aquarius

Quadrantid = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Quadrantid, sebuah buruj yang sudah pupus dan tidak wujud dalam peta bintang moden. Di langit ia kelihatan muncul dari kawasan buruj bernama Bootes.


Di manakah maklumat rasmi mengenai laporan dan kajian meteor terkini boleh didapati?

 

International Meteor Organizations (IMO)


Mudah-mudahn Q&A ini dapat sedikit sebanyak memberi panduan.

Wallahua’lam.

Meteor Perseids 12-13-14 Ogos 2015

$
0
0
Gambar hiasan. Sumber

Gambar hiasan. Sumber

Menjelang tengah malam hari Rabu ini, 12 Ogos dan hinggalah ke Subuh hari Khamis, 13 Ogos 2015, dan juga bermula tengah malam 13 Ogos hinggalah menjelang Subuh 14 Ogos 2015 waktu Malaysia, kita akan berpeluang menyaksikan sekali lagi juraian Meteor Perseids.


Asal-usul Meteor Perseids.

 

Juraian meteor-meteor Perseids ini berasal daripada Komet 109P/Swift-Tuttle. Kali terakhir komet ini melintasi Bumi ialah pada tahun 1992 dan membawa atau meninggalkan debu-debu yang banyak di kawasan lintasannya. Komet ini mengambil masa 130 tahun untuk mengelilingi matahari.

Debu peninggalan komet inilah yang menyebabkan kemunculan juraian meteor Perseids.

Sila rujuk artikel  “Jawapan mengenai Meteor yang anda perlu tahu” yang menerangkan secara umum mengenai asal-usul meteor secara umum.


Dari manakah arah meteor Perseids tahun ini akan muncul?

 

Seperti mana biasa tahun-tahun lepas, meteor Perseids akan muncul dari arah buruj bernama Perseus, yang berada di langit sebelah Utara.

Namun, jangan fokus kepada bahagian utara itu sahaja kerana meteor ini akan muncul di mana-mana sahaja, dan tidak tertakluk kepada kawasan buruj Perseus.

Lakukan cerapan menggunakan mata sahaja, tidak perlu sebarang peralatan mencerap.


Pukul berapa waktu terbaik untuk mencerap meteor?

 

Secara logiknya, meteor boleh dilihat sebaik sahaja malam menjelma. Namun, berdasarkan catatan panduan ahli astronomi dan penggemar meteor dunia, waktu yang sepatutnya kita tumpu ialah SELEPAS TENGAH MALAM hinggalah ke SUBUH.

Sila rujuk penerangan ini.

Mengapa ia berlaku demikian?

 

Sebab utamanya ialah titik radiant atau kawasan (buruj) Perseus yang mana meteor-meteor Perseids ini akan muncul, hanya akan terbit selepas tengah malam.

Rajah-rajah di bawah (menggunakan perisian Sky Safari Pro)  menunjukkan kedudukan titik radiant atau kawasan di mana meteor-meteor ini akan muncul bermula dari jam 9 malam hinggalah ke Subuh.

9 malam langit Semenanjung Malaysia

9 malam langit Semenanjung Malaysia (10 malam langit Sabah)

11 malam langit Semenanjung Malaysia

11 malam langit Semenanjung Malaysia (12 tengah malam langit Sabah)

1 pagi langit Semenanjung Malaysia

1 pagi langit Semenanjung Malaysia (2 pagi langit Sabah)

3 pagi langit Semenanjung Malaysia

3 pagi langit Semenanjung Malaysia (4 pagi langit Sabah)

5 pagi langit Semenanjung Malaysia

5 pagi langit Semenanjung Malaysia (6 pagi langit Sabah)

Garisan-garisan kuning itu melambang ARAH meteor Perseids ini akan muncul. Ia tidak menggambarkan apa yang dilihat dengan mata, maka jangan keliru pulak!.

Poin di sini ialah, kebarangkalian untuk melihat meteor yang banyak sebelum tengah malam adalah lebih tipis, berbanding selepas tengah malam.

Maka, adalah lebih baik kita simpan tenaga dahulu dan mulakan cerapan selepas tengah malam. Jadilah seorang pencerap yang bijak! :-)


Berapakah jumlah meteor yang akan dapat dilihat?

 

Maklumat daripada International Meteor Organization (IMO) menyatakan bahawa ketika waktu puncak meteor Perseids ini muncul antara jam 2.30 PETANG hingga 5 PETANG tarikh 13 Ogos 2015 ialah pada kadar 100 meteor dalam masa sejam.

Petikan skrin dari laporan IMO mengenai meteor Perseids 2015

Petikan skrin dari laporan IMO mengenai meteor Perseids 2015

Ini bermakna, dalam keadaan sempurna, itulah jumlah meteor yang akan dapat dilihat!

Namun, kita kena ambil kira faktor-faktor berikut:

  1. Waktu puncak di atas berlaku pada siang hari bagi kita di Malaysia. Maka, cerapan yang kita boleh buat nanti samada boleh dibuat 12 jam SEBELUM atau  12 jam SELEPAS waktu puncak, iaitu SAMA ADA menjelang Subuh hari Rabu, 13 Ogos atau menjelang Subuh hari Khamis, 14 Ogos 2015). Inilah 2 tarikh yang saya recommend.
  2. Faktor lokasi kita mencerap pun akan memberi kesan. Sila rujuk artikel Jawapan mengenai Meteor yang anda perlu tahu” mengenai isu ini.
  3. Faktor cuaca juga akan memberi kesan. Jika berawan, maka jumlah meteor akan berkurangan.

Kesimpulan

 

Meteor Perseids merupakan antara meteor yang paling aktif di langit. Jumlah meteornya yang banyak akan membolehkan kita mempunyai peluang yang cerah untuk melihat banyak meteor. Jangan harap untuk dapat melihat 100 meteor dalam sejam (atas faktor-faktor di atas), tetapi jika kita dapat lihat 20-30 meteor dalam sejam pun dah dikira beruntung!

Tahun 2015 ini kita agak bernasib baik kerana Bulan tiada di langit. Oleh itu, disebabkan tiada gangguan cahaya daripadanya maka langit akan menjadi gelap dan sesuai untuk melihat meteor-meteor ini.

Jangan lupa untuk rujuk dahulu artikel  “Jawapan mengenai Meteor yang anda perlu tahu” yang mempunyai banyak jawapan kepada persoalan juraian meteor ini.

Jom jangan lepaskan peluang ini.

 

 

 


Mukadimah Fenomena Gerhana Matahari Penuh Indonesia 2016

$
0
0

Sebagaimana semua sedia maklum, pada 9 Mac 2016, fenomena Gerhana Matahari Penuh akan melalui negara jiran kita, Indonesia. Ia akan merentasi dari Sumatera hingga ke Kepulauan Maluku di timur, sebelum ia masuk ke kawasan Lautan Pasifik. Disebabkan tinggal kurang 7 bulan lagi untuk ia berlaku, maka saya rasa sekarang adalah masa sesuai untuk menyampaikan maklumat mengenai fenomena tersebut.

Kebanyakan daripada apa yang ditulis di sini boleh juga didapati menerusi laman-laman web yang saya senaraikan dihujung artikel. Cuma, saya akan tambah beberapa pendapat peribadi, yang mungkin boleh membantu anda membuat perancangan terbaik nanti.


Tarikh, waktu dan lokasi

 

Gerhana Matahari Penuh (TSE2016) ini akan berlaku pada hari Rabu, 9 Mac 2016 bermula sekitar jam 7.30 pagi di Sumatera dan sekitar jam 10 pagi di Maluku Utara. Lain kawasan, lain waktu gerhananya bermula.

Namun secara amnya, ia akan berlaku pada waktu pagi, hari Rabu tersebut.

Di bawah merupakan peta laluan fenomena gerhana matahari penuh ini akan berlaku.

Screen Shot 2015-09-03 at 10.52.37 PM

Di antara bandar-bandar besar/utama yang akan mengalami gerhana ini ialah Palembang, Palangkaraya, Balik Papan. Di kawasan Sulawesi, ia akan melalui bandar bernama Palu, dan di Maluku Utara, bandar Ternate menjadi tumpuan.

Selain daripada waktu yang berlainan, julat waktu ketika fasa gerhana penuh (iaitu ketika matahari terlindung 100% oleh bulan) pun berlainan dari tempat ke tempat. Adalah mustahil untuk menyenaraikan waktu kejadian di setiap titik lokasi gerhana.

Oleh itu, saya telah memilih beberapa bandar utama dan menyenaraikan waktu-waktu bagi setiap fasa gerhana ini akan berlaku di lokasi tersebut. Ini mungkin boleh dijadikan panduan kasar kepada anda untuk memilih kawasan pilihan.

Kiraan ini dibuat oleh Xavier M. Jubier dan boleh juga didapati di sini.

Nota:

Fasa gerhana matahari terbahagi kepada 5 fasa utama

  • 1st Contact (C1) – Saat di mana sisi Bulan kali pertama  kelihatan di tepi matahari, menandakan bermulanya gerhana. Ketika ini kita panggilnya sebagai Fasa Gerhana Separa (Partial Eclipse)
  • 2nd Contact (C2) – Saat di mana keseluruhan Matahari telah dilindungi oleh Bulan. Langit gelap seperti waktu lewat senja.
  • Gerhana Maksimum – Saat di waktu puncak gerhana. Maknanya, sebagai contoh jika waktu keseluruhan fasa gerhana penuh ialah 2 minit, waktu Maximum Eclipse ialah pada minit ke-1.
  • 3rd Contact (C3) – Saat di mana kita mula dapat lihat silau cahaya matahari, menandakan Bulan sudah mula bergerak dan sebahagian daripada matahari mula kelihatan. Ketika ini fasa Totality (gerhana matahari penuh) pun secara rasminya tamat.
  • 4th Contact (C4) – Saat di mana bentuk jasad Bulan telah hilang keseluruhannya daripada matahari, menandakan tamat gerhana.

Waktu yang paling kritikal dan patut diambil perhatian ialah bermula dari C2 hingga ke C3, yang mana ketika itu matahari terlindung sepenuhnya dan suasana menjadi gelap.

Semua waktu fasa-fasa gerhana di bawah adalah WAKTU TEMPATAN (Local time) bandar masing-masing.


Screen Shot 2015-09-03 at 10.54.01 PM

Palembang, Sumatera
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 1 minit 50 saat

Matahari terbit : 6:10 AM
1st Contact (C1):  6:20:29 AM   Ketinggian matahari +2.5º
2nd Contact (C2):  07:20:48 AM  Ketinggian matahari +17.5º
Gerhana Maksimum:  07:21:43 AM  Ketinggian matahari +17.7º
3rd Contact (C3):  07:22:38 AM  Ketinggian matahari +18.0º
4th Contact (C4):  08:31:25 AM  Ketinggian matahari +35.1º

Tanjung Pandan, Pulau Belitung
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 2 minit 2.4 saat

Matahari terbit :  5:58 AM
1st Contact (C1):  6:21:08 AM  Ketinggian matahari +5.5º
2nd Contact (C2):  6:22:55.7 AM  Ketinggian matahari +20.9º
Gerhana Maksimum: 6:24:01.6 AM  Ketinggian matahari +21.2º
3rd Contact (C3):  6:25:08 AM  Ketinggian matahari +21.5º
4th Contact (C4):  8:35:53 AM  Ketinggian matahari +39.1º


Screen Shot 2015-09-03 at 10.54.56 PM

Palangkaraya, Kalimantan
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 2 minit 29.8 saat

1st Contact (C1): 6:23:29 AM  Ketinggian matahari +12.3º
2nd Contact (C2): 07:28:57 AM  Ketinggian matahari +28.6º
Gerhana Maksimum : 07:30:12 AM  Ketinggian matahari +28.9º
3rd Contact (C3): 07:31:27 AM  Ketinggian matahari +29.2º
4th Contact (C4): 08:46:54 AM  Ketinggian matahari +48.0º

Balikpapan, Kalimantan
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 1 minit 10.2 saat

1st Contact (C1):  07:25:36  Ketinggian matahari +15.6º
2nd Contact (C2): 08:33:48  Ketinggian matahari +32.6º
Gerhana Maksimum: 08:34:23  Ketinggian matahari +32.8º
3rd Contact (C3): 08:34:58  Ketinggian matahari +32.9º
4th Contact (C4): 09:53:36  Ketinggian matahari +52.5º


Screen Shot 2015-09-03 at 10.56.24 PM

Palu, Sulawesi
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 2 minit 04.9 saat

1st Contact (C1): 07:27:51 AM  Ketinggian matahari +19.2º
2nd Contact (C2): 08:37:47 AM  Ketinggian matahari +36.6º
Gerhana Maksimum: 08:38:49 AM  Ketinggian matahari +36.9º
3rd Contact (C3): 08:39:52 AM  Ketinggian matahari +37.2º
4th Contact (C4): 10:00:34 AM  Ketinggian matahari +57.2º

Ternate, Maluku Utara
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 2 minit 43.2 saat

1st Contact (C1): 08:36:03 AM  Ketinggian matahari +28.6º
2nd Contact (C2): 09:51:37 AM  Ketinggian matahari +47.4º
Gerhana Maksimum: 09:52:58 AM  Ketinggian matahari +47.7º
3rd Contact (C3): 09:54:20 AM  Ketinggian matahari +48.0º
4th Contact (C4): 11:20:49 AM  Ketinggian matahari +69.3º


Ramalan Cuaca di Indonesia

 

Indonesia (seperti Malaysia) terletak di kawasan Khatulistiwa dan mengalami cuaca panas lembap sepanjang tahun. Berdasarkan maklumat di sini, kebanyakan lokasi laluan gerhana ini akan berpotensi berawan.

Namun, jumlah taburan awan dikatakan berkurang apabila semakin ke timur Indonesia.

screen 2015-09-03 at 1.41.26 PM

Sumber: Jay Anderson

Pemerhatian  daripada peta taburan awan di atas, dapat memberi gambaran kasar terhadap densiti awan (paling banyak bewarna oren dan paling kurang awan berwarna biru).

Di bawah merupakan graf peratusan taburan awan berdasarkan rekod semasa.

screen 2015-09-03 at 1.49.42 PM

Jelas di sini, kawasan Sumatera dan Kalimantan akan mengalami jumlah awan yang banyak, berbanding kawasan ke timur, iaitu di Sulawesi dan Kepulauan Maluku.


Gerhana dari Malaysia

 

Di Malaysia, kita tidak akan dapat melihat fasa gerhana penuh. Disebabkan garisan laluan gerhana ini hanya akan merentasi Indonesia, kita di Semenanjung, dan Sabah serta Sarawak, hanya akan dapat lihat gerhana matahari separa.

Ini bermaksud, Bulan hanya akan menutup sebahagian sahaja daripada matahari (tidak semua).

Kesannya ialah… tiada perubahan dari segi kecerahan langit. Kita akan lihat matahari bersinar terang di langit, seolah-olah seperti tiada gerhana yang berlaku.

Fasa gerhana separa ini hanya dapat dilihat apabila kita melihat matahari menggunakan cermin mata khas matahari, atau menerusi teleskop dan kamera yang dipasang penapis matahari.

Namun begitu, jangan anggap ia tidak menarik. Fasa-fasa gerhana separa masih lagi cukup mengujakan, terutama sekali jika kita merakam dan menyusunkan mengikut waktu sebenar.

Sebuah artikel khas untuk gerhana dari Malaysia akan dimuatnaik nanti, InsyaAllah.


Perancangan

 

Perancangan untuk menjejak fenomena gerhana matahari ini perlu teliti kerana ia melibatkan banyak faktor seperti kos, lokasi, peralatan dan sebagainya. Saya sendiri pernah menjejaki gerhana matahari di Turki (2006), Anyer (2009), Jiaxing, China (2009), Australia (2012 dan 2013), dan dari situ saya boleh kongsikan serba sedikit pandangan yang mungkin boleh membantu anda membuat pilihan terbaik.


Lokasi

 

Pemilihan lokasi penting, kerana semua orang mahupun pandangan atau view yang terbaik ketika fasa gerhana penuh itu berlaku. Namun begitu, kita juga harus ambil kira faktor seperti berikut:

  1. Waktu durasi paling optimum yang mahu dilihat. Kadangkala titik atau poin di mana waktu durasinya paling panjang, tidak semestinya di dalam bandar-bandar utama. Sebagai contoh, di Palembang, jika kita mencerap dari dalam bandar Palembang, durasinya ialah 1 minit 50 saat. Namun, jika kita sanggup memandu lebih kurang 100 km ke utara dari Palembang, kita akan dapat durasi selama 2 minit. Persoalannya di sini ialah adakah kita ini jenis adventurous dan sanggup memandu jauh? Atau adakah kita rasa 1 minit 50 saat sudah mencukupi?
  2. Keselesaan ke lokasi. Kita mungkin mahu yang paling selesa, kalau boleh dapat tengok gerhana terus dari jendela tingkap hotel pun dah bagus! Namun, selalunya apa yang kita fikirkan itu tak semestinya itulah yang kita dapat. Kadangkala kita terpaksa ubah lokasi pada saat akhir kerana apabila kita berada di tempat cerapan, barulah kita dapat lihat ia tidak begitu sesuai. Sebaiknya recce lah sehari dua sebelum gerhana.
  3. Kemampuan untuk berpindah. Jika cuaca tidak mengizinkan, kita harus juga mempunyai rancangan kedua, atau Plan B, seperti berpindah ke lokasi lain pada saat-saat akhir. Pengalaman saya di sini ialah jika kita memandu sendiri dalam sebuah kereta, adalah jauh lebih mudah bergerak jika bergerak dalam kumpulan besar.
027

Penulis berhadapan dengan suasana hujan di Jiaxing, China pada tahun 2009. Foto oleh Ustaz Mohd Noor.


Kos

 

Kos akan memainkan peranan utama di dalam pengembaraan menjejaki gerhana kali ini. Dari segi lokasi terbaik, jelas kawasan timur Indonesia seperti Sulawesi dan Ternate merupakan hot spot kegemaran pencerap gerhana dunia (jika mengikut ramalan cuaca).

Namun, lokasi-lokasi yang ada di sana agak terpencil. Hotelnya pun tidak banyak. Selalunya hotel-hotel ini sudah pun ditempah setahun sebelum tarikh gerhana!. Selain itu, disebabkan bilangan hotel yang sedikit, kita kena siap sedialah dengan harga yang mahal dan berlipat kali ganda dari harga asal.

Kena ingat, bukan kita sahaja yang akan turun padang, seluruh peminat astronomi dunia akan turut sama ke sini!

Kos penerbangan juga kena ambil kira. Setakat ini, banyak penerbangan ke Palembang dan Kalimantan, tetapi untuk ke Sulawesi dan Ternate, kita terpaksa mengambil sekurang-kurangnya 2 penerbangan berlainan. Satu dari Kuala Lumpur, dan satu lagi penerbangan domestik untuk ke lokasi berkenaan. Maka jumlah kos keseluruhan penerbangan kena ambil kira.


Masa

 

934607_10200721105862365_1426545259_n

Suasana menjelang terbitnya matahari, ketika ekspedisi gerhana matahari cincin 2013 di Australia.

Masa untuk kita berada di lokasi juga penting. Disebabkan gerhana matahari ini akan berlaku di awal pagi, maka kita kena sudah siap sedia sampai di lokasi cerapan selewatnya waktu Subuh, atau mungkin tengah malam sebelum gerhana itu berlaku.

Kenapa perlu awal? Seperti yang saya sebutkan tadi, bukan kita sahaja yang akan mencerap gerhana, malah akan ada puluhan ribu lagi penduduk tempatan, pelancong luar negara, ahli saintis dan lain-lain, yang akan sama berada di lokasi itu. Kalau kita datang last minute, jangan haraplah nak dapat pandangan atau port yang terbaik!

Selain itu, kadangkala lokasi yang dijangka boleh dibuat cerapan, tiba-tiba terpaksa ditukar pada saat-saat akhir, kerana ia mungkin tutup atas alasan keselamatan ke, atau apa-apa sahajalah.

Kita ini berada di negara luar, maka undang-undang atau selok-belok program gerhana ini hanya dapat diketahui apabila sampai di sana. Maka, kena siap-sedia untuk sebarang kemungkinan.


Peralatan

 

Di antara peralatan yang dibawah oleh penulis dan Dr.Rowi semasa ekspedisi gerhana di Australia pada tahun 2012. ©Shahrin Ahmad

Apakah jenis peralatan yang akan kita bawa? Adakah kita sekadar mahu melihat gerhana dengan mata kasar atau mungkin kita hendak merakamnya menggunakan kamera ataupun teleskop?

Berapa beratkah keseluruhan alat yang hendak di bawa? Ini kena ambil kira juga kerana akan ada kesan terhadap kos bagasi penerbangan anda.

Selain itu, bagaimanakah anda mahu menyimpan dan membawa peralatan ini? Dalam beg yang dibawa naik ke atas atau disimpan dalam kargo? Jika disimpan dalam kargo adakah beg kita itu mampu menyelamatkan peralatan kita itu setelah dihumban ke sana sini semasa di lapangan terbang?

Setahu sayalah, letaklah label “Fragile” ke apa ke… last-last kena campak juga beg kita tu!


Latihan

 

Jika kita bercadang untuk melihat gerhana dengan mata kasar, latihan tidak  diperlukan. Kita hanya perlu tahu waktu fasa-fasa gerhana itu berlaku dan carilah lokasi yang paling sesuai dan selesa.

Lain pula ceritanya jika kita bercadang untuk merakam fenomena ini. Latihan amat penting!

Latihan seperti setting kamera atau teleskop, timing ketika fasa gerhana dan seumpama ini, semuanya perlu dibuat sebelum kita pergi ke Indonesia. Malah, ia sepatutnya sudah dilakukan sekarang.

Kita kena kenalpasti dahulu apa metod rakaman kita itu nanti. DSLR sahaja ke, DSLR dengan teleskop ke, video kamera ke, GoPro ke.

Adakah kita hendak fokus kepada matahari sahaja ke, atau nak rakam suasana sekeliling ke, seperti merakam bayang-bayang bulan (moon shadow)?

Bayang-bayang bulan, atau Moon shadow, yang dapat dilihat ketika waktu fasa gerhana penuh. ©Shahrin Ahmad

Banyak persoalan di atas perlu dijawab terlebih dahulu. Kemudian, setelah itu barulah  kita boleh kenalpasti alat yang akan dibawa. Latihan akan menyusul selepas itu berdasarkan alat yang dibawa.

Saya cadangkan, cuba lihat video-video gerhana di youtube untuk mendapat gambaran suasana gerhana itu nanti.


Automation

 

Merakam foto gerhana merupakan satu perkara yang amat stress. Ini adalah kerana durasi masa ketika fasa gerhana penuh itu amat pendek. Di dalam kes Palembang, hanya 1 minit 50 saat. Bayangkanlah dalam masa yang pendek itulah, kita hendak mengambil gambar, hendak tukar setting kamera, nak pandang ke langit, nak tengok sekeliling. Masa itu jugalah kawan kita mula tanya setting kamera apa yang terbaik, masa itulah juga bateri habis.. dan 1001 macam lagi kejadian.

Berdasarkan pengalaman kelam kabut pada tahun 2006, saya telah merancang untuk menggunakan perisian yang akan mengawal dan merakam gambar secara automatik, tanpa perlu kita lakukan apa-apa pada kamera, semasa gerhana tahun 2009.

Malangnya, disebabkan hujan di China,  saya terpaksa menunggu 3 tahun kemudian, iaitu pada bulan November 2012 barulah dapat implimentasikan automation ini.

Walaupun tidaklah sempurna seperti yang diidamkan,  namun ia berjaya membebaskan diri saya daripada kekalutan tak tentu pasal dengan kamera, dan terlepas peluang melihat gerhana dengan mata!

Perisian yang saya gunakan ialah Solar Eclipse Maestro.

InsyaAllah dalam artikel yang akan datang, saya akan perincikan kemampuan perisian ini, dan bagaimana ia boleh membantu anda merakam gerhana secara automatik!


Solat Gerhana

 

Satu aspek kerohanian penting ketika fenomena Gerhana Matahari ini ialah Solat Sunat Gerhana. Ia merupakan satu ibadat sunat muakkad yang penting yang seeloknya dilakukan oleh kita yang mempunyai masa terluang.

InsyaAllah dalam artikel akan datang, saya akan usaha mendapatkan maklumat terperinci daripada guru-guru falak tempatan mengenai solat gerhana ini, dan bagaimana ia boleh dilakukan dengan cara terbaik.


Kita hanya merancang

 

Namun, segala yang kita buat, perancangan yang telah diterjemahkan hanya usaha kita sebagai manusia yang tiada daya upaya. Allah SWT jualah yang menentukan segala-galanya. Berdasarkan pengalaman saya yang sedikit di atas, tidak semua ekspedisi gerhana dapat memberi hasil cerapan yang baik.

2006 – Gerhana Penuh di Turki. Alhamdulillah ini merupakan ekspedisi gerhana penuh saya yang pertama dan ditakdir cuaca amat cantik! Segala berjalan lancar.

Jan 2009 – Anyer, Indonesia. Gerhana Matahari Cincin di Anyer, tetapi cuaca agak berawan dan keadaan matahari tidak begitu jelas.

Julai 2009 – Jiaxing, China. Gerhana Matahari Penuh yang terpanjang untuk abad ke-21. Namun, ditakdirkan hujan! Kami yang pergi tidak dapat melihat suasana matahari gelap dilindungi bulan, namun berpeluang mengalami suasana yang amat gelap berbanding biasa. Ramalan  sebelum ke China menyatakan cuaca baik di China tetapi semakin berawan di India. Realitinya pada hari gerhana, China berawan tetapi India mendapat pandangan yang terbaik.

Nov 2012 – Mareeba, Australia. Gerhana Matahari Penuh. Cadangan asal hendak mencerap di sepanjang pantai Cairns, Queensland. Tetapi apabila mendapat berita cuaca yang tidak mengizinkan pada tarikh gerhana tersebut, kami pun tukar rancangan dan pergi ke bandar lain, 1 jam perjalanan ke kawasan pendalaman. Alhamdulillah dapat cuaca baik.

Mac 2013 – Newman, Australia. Gerhana Matahari Cincin. Kami terpaksa menaiki kereta sejauh 1300km, 12 jam perjalanan merentasi kawasan kosong Australia Barat, untuk melihat matahari terbit dalam keadaan gerhana. Cuaca baik pada malam sebelum gerhana, namun pada paginya, agak berawan di ufuk dan kami hanya sempat tengok fasa gerhana cincin tak sampai 15 saat sahaja. Rakan ekspedisi, Halda ada menulis dalam blog beliau.

Kesemua di atas menunjukkan beberapa risiko yang perlu kita ambil kira apabila ke Indonesia nanti. Saya tidak boleh menjanjikan cuaca baik, namun apa yang pasti kita usahalah yang terbaik mengikut kemampuan kita.  Selebihnya di serah kepada Allah SWT.

لاحول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم


945248_10200720691292001_123493720_n

Penulis bersama Muzamir, Ustaz Ahmad Zaki dan Halda ketika menjejaki Gerhana Matahari Cincin di Australia 2013

Secara amnya, artikel ini merupakan mukadimah kepada fenomena gerhana matahari tahun hadapan.

InsyaAllah dari semasa ke semasa, saya akan memuat naik artikel-artikel berkaitan serta beberapa video gerhana yang saya sempat rakam sebelum ini. Saya juga akan cuba membincangkan lebih terperinci mengenai cara-cara mencerap gerhana, samada dengan mata kasar mahupun dengan alat rakaman.

Doakan saya, agar Allah SWT memberikan kekuatan dan ketenangan di dalam menyalurkan seberapa banyak maklumat menjelang Gerhana Matahari Penuh 2016 ini nanti.

Wallahua’lam


Ketika berada di ekspedisi gerhana di Jiaxing, China pada tahun 2009, Ibu kepada penulis telah pulang ke Rahmatullah di tanahair. Penulis terpaksa memendekkan masa dan bergegas pulang untuk urusan pengkebumian. Mohon jasa baik pembaca sekalian sedekahkah Al-Fatihah buat arwah. Semoga Allah SWT mengampuni dosa arwah mak dan merahmati rohnya.

اللهم اغفر له، وارحمه، وعافه، واعف عنه

الفاتحة


Rujukan

  1. Total Solar Eclipse of 2016 March 8-9 in Indonesia or Micronesia . Xavier M. Jubier (IAU member – working group on solar eclipses) http://xjubier.free.fr/en/site_pages/solar_eclipses/TSE_20160309_pg01.html
  2. Langit Selatan – Gerhana matahari total 2016 – http://gerhana.langitselatan.com/en/
  3. http://eclipse.gsfc.nasa.gov/SEgoogle/SEgoogle2001/SE2016Mar09Tgoogle.html

4 langkah asas untuk mempelajari objek-objek langit

$
0
0

Langkah pertama untuk kita meneroka alam semesta pada waktu malam sentiasa menjadi persoalan yang tiada ketemu jawapannya. Seringkali ramai yang bertanya mengenai jenis teleskop yang manakah sesuai untuk melihat galaksi, atau dia  hendak merakam astrofoto tetapi tidak mahu membeli peralatan yang berharga lebih dari RM1000!

Selain itu, ada juga telah bertanya dan meminta nasihat tentang apa yang diperlukan untuk mempelajari bidang astronomi ini.

Terus terang, memang saya lambat untuk menjawab persoalan-persoalan seperti di atas (malah dah sampai ke tahap kena sumpah seranah).

Semuanya bukan sengaja, kerana saya khuatir jika tersalah memberi nasihat, lebih mudarat jadinya. Di samping itu, saya juga kena fikirkan  cara terbaik untuk:

  • menerangkan satu konsep yang agak asing,
  • di dalam bahasa yang mudah,
  • kepada seseorang yang mempunyai zero knowledge
  • yang bersemangat tetapi tak sabar-sabar untuk terus pandai dari A-Z dalam masa yang singkat.

Saya sendiri mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk sampai tahap yang sekarang ini. Itupun masih banyak lagi perkara yang masih kena belajar dan terkejar-kejar kerana perkembangan ilmu ini yang begitu pesat sejak sedekad yang lalu.

Apa pun, langkah pertama mesti diambil. Jika kita takut untuk memulakannya, sampai bila pun tidak akan sampai ke penghujungnya.

Menerusi artikel ini, saya cuba gariskan beberapa langkah asas yang mungkin sesuai untuk anda mencubanya. Kena ingat, langkah-langkah ini bukanlah terbaik dan ramai lagi di luar sana yang boleh memberi pandangan jauh lebih bernas. Apa yang saya cuba huraikan di sini adalah berdasarkan pengalaman saya sebelum ini.

Secara amnya, ada 4 langkah awal yang penting:

  1. Pandang ke langit
  2. Lakukan pemerhatian
  3. Kenal buruj
  4. Binokular sebagai teman

Pandang ke langit

Perangai suka pandang ke langit merupakan satu elemen penting yang harus ada dalam diri kita.

Jika kita tidak pernah mendongak ke langit, bagaimana kita mahu mengenali dan memahami pergerakan objek-objek angkasa yang sebenar-benarnya?

Hanya dengan sekadar membaca buku, melayari internet dan menggunakan aplikasi simulasi langit di dalam gajet-gajet, tidak akan memberi kesan, impak serta gambaran sebenar di luar sana.

Ilmuwan terdahulu sebelum kita, tamadun-tamadun Greek, China dan kemudian ilmuwan muktabar Islam, semuanya mempunyai satu persamaan… semuanya memandang ke langit.

Jika kita masih ingat pada bulan Ramadhan lepas (1436H), langit senja dihiasi dengan pergerakan unik 2 buah planet yang tercerah di langit, Zuhrah dan Musytari.

Cuba bayangkan, jika kita hanya sekadar membaca menerusi pos-pos di page FalakOnline, tanpa keluar dan menyaksikan sendiri kedua objek itu di langit, tentu ramai yang tidak akan sedar betapa indahnya kedua-dua planet ini menghiasi langit sementara kita beramai-ramai menuju ke masjid menunaikan solat Terawih.

Sambil menuju ke masjid untuk mendengar ayat-ayat maqru’ah, kita memulakan langkah dengan memerhati alam menerusi ayat-ayat manzurah.

Kan cantik tu!

Tapi mesti ada yang akan berkata “Dah pandang dah tapi tak kenal apa-apa pun!”

Jawapan saya ialah kita tidak semestinya terus  boleh kenal dengan apa yang ada di langit. Malah, kalau kita nak berkenalan dengan orang pun, ambil masa juga untuk ingat nama dan kenal perangai dia!

Di langit, ada 6 buah planet yang terang dan boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi selalu berubah-ubah posisinya, ada 88 buah buruj dan akan berubah kedudukan sepanjang malam sepanjang tahun, International Space Station akan sentiasa melintasi langit dengan kecerahan melampau hingga mengelirukan kita, meteor akan tiba-tiba muncul dan banyak lagi.

Sekali imbas, memang kesemuanya terasa amat membebankan!

Tapi jangan risau. Jika kita selalu memandang objek-objek ini, lama kelamaan akan kenal juga!

foto018

Jadikan mendongak ke langit satu tabiat yang menyeronokkan. ©Shahrin Ahmad

Apa yang penting di sini ialah, apa yang dilihat itu biarlah disimpan dalam ingatan kita ini. Mungkin suatu hari nanti, bila kita sudah mula belajar lebih sedikit , kita akan teringat kembali kenangan dulu, dan barulah ketika itu  dapat kenalpasti dan appreciate identiti sebenar benda yang kita lihat itu.

Ingat, pandanglah ke langit selalu. Jadikan ia sebagai satu habit. Inilah langkah pertama.


Lakukan pemerhatian

Sekadar pandang ke langit, kita baru melengkapkan 50% daripada tugasan sebenar sebagai seorang pemerhati langit.

Satu lagi langkah yang kena ambil ialah pemerhatian.

Kalau sekadar pandang sahaja, ia tidak cukup untuk memberi kita pemahaman yang jelas mengenai sesuatu fenomena atau objek tersebut. Sebaliknya, jika kita memerhatinya dengan bersungguh-sungguh dari hari ke hari, lihat perubahan posisinya, mungkin kecerahannya berubah, atau rupa bentuknya yang sentiasa bertukar setiap malam, lama-kelamaan kita akan dapat satu pemahaman yang lebih mendalam.

Bak kata orang tua-tua,“tak kenal maka tak cinta”.

Sebagai contoh, kita mungkin pernah lihat di kalangan bintang-bintang di dalam buruj Orion, hampir kesemuanya berwarna putih, cuma ada satu sahaja yang berwarna kemerahan.

Bagi seseorang yang sekadar tengok aje, dia memang akan perasan perbezaan warna itu, tetapi setakat itu sahajalah yang dia akan nampak. Bagi dia, bintang itu sekadar cantik dan berlainan warna dari yang lain.

Mencerap langit beramai-ramai merupakan satu aktiviti sihat. Sumber berita.

Namun, bagi seseorang yang memerhati dengan lebih tekun, pasti dia akan mula bertanya-tanya, mengapa bintang itu merah? Setelah dibuat pembacaan, barulah dia akan dapati bahawa bintang itu merah kerana ia sudah tua dan sampai ke penghujung hayatnya. Bermula dari pengetahuan ini, dia akan mula lihat setiap bintang di langit itu sebagai satu ‘benda hidup’, yang masing-masing mempunyai cerita atau sejarah tersendiri.

Itulah yang dimaksudkan dengan pemerhatian.


Kenalilah buruj

Buruj-buruj merupakan papan tanda di langit. Ia akan memudahkan kita mencari objek-objek yang lebih kelam dan mencabar. Jika kita tidak mengenali buruj, maka amat susah untuk menerangkan kepada seseorang arah atau kawasan mana di langit yang kita sedang ceritakan.

Sebagai contoh, andai kata malam ini ada planet Zuhal di langit. Disebabkan kecerahan planet Zuhal ini tidaklah terang sangat dan menyilau-nyilau (seperti Zuhrah), ia merupakan antara planet yang ‘agak mencabar’ untuk diceritakan kepada rakan-rakan kita.

“tu yang dekat sebelah sana tu, atas sikit dari bintang yang cerah satu lagi tu…”

” alaaa.. yang sebelah bintang merah tu, ada 3 bintang sederet,, kalau buat garisan ke atas, tapi bengkok ke kanan sikit, mata kita akan nampak Zuhal”

” Dia tu tak de la terang sangat. Nampakkan? Dah dekat atas kepala tu, tapi senget ke kanan sikit.. sikit je senget”

Kebanyakkan daripada kita pernah dengar atau pernah mengungkap sendiri ayat-ayat seperti di atas, bagi menunjukkan arah objek yang dimaksudkan. Mesti susah kan?

Namun, jika kita kenal bentuk buruj, ayatnya akan menjadi tepat atau straight to the point seperti di bawah:

“Zuhal tu berada di atas kawasan kepala buruj Scorpio, lebih kurang 10 darjah ke barat Antares”

“Zuhal berada di antara Scorpio dan Libra, senang je kerana ia bersinar sama cerah dengan Antares”

Dengan menguasai ilmu buruj, kenali bentuknya, tahu bila ia muncul, tahu nama bintang-bintang cerah di dalam sesebuah buruj, kerja-kerja untuk mencari objek di langit akan menjadi amat mudah dan ringkas.

Itulah pentingnya berkenalan dengan buruj.

Zaman sekarang ini dah banyak perisian komputer dan aplikasi mudah alih yang boleh menunjukkan kedudukan buruj-buruj di langit (selain daripada planet, bulan dan matahari).

Ia jauh lebih mudah berbanding dengan cara yang saya gunakan dahulu, yang mana terpaksa membawa buku-buku atau helaian-helaian besar peta bintang bersama-sama dalam aktiviti cerapan malam.

Walaupun ia mudah, tetapi saya dapati masih ada yang tak kena.

Apa tidaknya, ramai yang tahu menghalakan telefon bimbit dan aplikasi tersebut ke langit, sambil berkata buruj sekian-sekian ini berada di arah sekian-sekian.

Tetapi apabila dia pandang  dengan mata kepalanya sendiri ke langit, dia akan jadi buntu, keliru dan tak tahu yang mana satukah bintang di langit yang telah ditandakan dalam aplikasi tersebut!

Jelas di sini,  jika kita tidak mempunyai skil “Pandang Ke Langit”,  gunalah secanggih mana perisian dan aplikasi yang ada, kita akan mengalami kesukaran mengenalpasti objek di langit.

screen520x924

Itulah sebabnya, langkah pertama “Pandang ke Langit” mesti dimulakan terlebih dahulu dan dijadikan sebagai habit dalam diri kita.

Setelah selalu pandang ke langit dan memerhatikan perubahan setiap malam, mengenali buruj merupakan langkah ke-3 yang amat penting dan perlu dibiasakan.


Binokular sebagai teman

Seringkali saya nasihatkan, jika …

anda tak dapat nak bezakan antara planet dan bintang…

.. jangan beli teleskop dahulu! Belilah Binokular.

Bacalah mana-mana tulisan penggiat astronomi amatur dan juga profesional dunia, mereka pasti akan memberi pendapat yang sama. Malah, walaupun sekarang mereka mempunyai teleksop yang serba canggih untuk meneroka langit, sebuah binokular kecil tetap ada bersama-sama dengan mereka sepanjang masa.

Alat ini amat versatile, ia kecil, mudah dan ringan untuk di bawa ke mana-mana dan tidak memerlukan sebarang kuasa bateri untuk mengendalikannya. Ia mampu menunjukkan ratusan ribu bintang di langit.

Jumlah bintang yang boleh dilihat dengan mata kasar di seluruh kawasan langit, mencecah sekitar 9000 buah bintang kesemuanya. Jumlah inilah yang mana pepatah ada mengatakan tak terkira bintang di langit.

Apabila kita menggunakan sebuah binokular, jumlah bintang yang dilihat akan mencecah 200,000 buah bintang!

Ini sebenarnya sebuah jumlah yang amat besar! Jika 9000 bintang dengan mata kasar pun tak terhabis untuk dilihat, apatah lagi 200,000 buah bintang!

Apa yang saya cuba maksudkan di sini ialah, alat sekecil ini pun sudah cukup memadai untuk kita memulakan langkah pertama dalam penerokaan langit malam menggunakan alat bantuan mencerap.Ia sudah mampu menunjukkan kepada kita pandangan langit yang penuh dengan ribuan bintang, gugusan-gugusan bintang, bintang berkembar, nebula serta galaksi yang terang-terang. Semuanya di bawah jangkauan sebuah binokular.

Tak perlulah kelam kabut membeli sebuah teleskop, kerana cara pengendalian sebuah teleskop jauh berbeza dan perlukan latihan yang banyak dan kesabaran yang tinggi untuk menggunakannya, walhal Binokular ini, bagilah kepada anak kita yang umur 3 tahun, dia pasti akan tahu serta merta cara nak pegang dan hala ke langit.

Mulalah dengan tenang, dengan cara yang paling mudah. Hasilnya jauh lebih memberangsangkan!

Binokular wajib kena ada sebagai teman!


Rumusan

Untuk peringkat awal, langkah-langkah awal untuk kita mula nak berkenalan dengan objek-objek langit adalah seperti

  • Pandang ke langit
  • Pemerhatian lebih mendalam
  • Kenali Buruj
  • Binokular sebagai alat cerapan pertama

Bagi saya 4 faktor ini perlu dikuasai terlebih dahulu, barulah kita akan lebih appreciate dengan apa yang kita akan lihat di langit.

Selepas itu, barulah kita masuk bab-bab yang lebih terperinci dan agak ‘teknikal’, seperti:

  • apakah jenis teleskop yang sesuai untuk melihat objek tertentu?
  • Mengapa bila tengok dalam teleskop, tak sama dengan apa yang ada di internet?
  • Apakah perisian yang dapat membantu dalam proses pencerapan ini?
  • Teleskop yang mana sesuai untuk beginner

Persoalan di atas ni, memang ramai dah tanya, tetapi untuk menjawabnya kena ada prerequisite atau syarat-syarat awal yang kena penuhi dulu. Syarat-syarat itulah   yang dibincang dalam artikel ini.

Saya terbaca sebuah artikel di muslimheritage.com berkenaan dengan seorang ahli matematik, ahli astronomi, oakar optik dan mekaninal, Taqī al-Dīn al-Rasid (1526-1585). Beliau juga terkenal kerana membina Balai Cerap Istanbul (1574).

Satu perenggan yang menarik perhatian saya di dalam artikel di atas ialah bagaimana menerusi buku, Sidrat muntahā al-afkār fī malakūt al-falak al-dawwār ,  menunjukkan bagaimana beliau telah mengkaji dan menemui nilai 2º0′ eccentricity of the Sun (sejauh mana bulatnya orbit bumi mengelilingi matahari) , dan anjakan apogee sebanyak 63 minit setiap tahun. Nilai yang sungguh tepat dan hampir sama dengan apa yang dijumpai sekarang. Kesemua ini berdasarkan pemerhatian pergerakan posisi Bulan, planet Zuhrah, bintang Aldebaran dan bintang Spica.

Keyword di sini ialah pemerhatian.

Ia bukanlah satu konsep asing, malah telah pun digunakan oleh para ilmuwan hebat masa silam. Maka, tibalah masa sekarang untuk kita ‘kembali’ menjadikannya sebagai satu tabiat yang amat-amat berguna.

InsyaAllah kita sambung lagi selepas ini dengan tajuk berkaitan dengan konsep teleskop dan apa yang boleh dilihat menerusi teleskop yang berlainan spesifikasi.

Wallahua’lam

Rujukan:

Destinasi baru New Horizons – 2014 MU69

$
0
0
NH_KBO_480_274

Lakaran artis menunjukkan New Horizons sedang melintasi 2014 MU69 nanti. Kredit: NASA/JHUAPL/SwRI/Alex Parker

Setelah berjaya sampai ke Pluto, kapal angkasa New Horizons kini mempunyai destinasi terbaru. Sebuah objek kecil bernama 2014 MU69.

Tidak banyak yang diketahui mengenai objek ini melainkan ia terletak 6.49 bilion km daripada matahari, atau 43.3 kali ganda lebih jauh daripada bumi! Ia bersinar pada kecerahan yang amat-amat kelam, iaitu pada skala magnitud 25.6. Terlampau kelam hingga perlukan Teleskop Angkasa Hubble untuk menjejakinya.

Faktor utama pemillihan 2014 MU69 ini bukanlah saiz atau mana-mana sifat fizikal yang menarik. Ia lebih menjurus kepada faktor kedudukannya di angkasa lepas. Pada ketika ini, New Horizons sedang meluncur laju keluar daripada kawasan planet-planet berhampiran matahari, dan mula memasuki zon yang digelar Gelang Kuiper.

Walaupun ada beberapa calon yang lebih sesuai, lebih besar dan menarik untuk New Horizons ini singgah, namun kesemua tidak berada di dalam laluannya.

Kena ingat, New Horizons ini meluncur lebih laju daripada peluru, dan jika kita hendak mengubah laluannya, banyak tenaga yang diperlukan, dan para jurutera kapal angkasa ini tahu, New Horizons hanya mempunyai tenaga yang sedikit sahaja ketika ini.

Oleh itu, setelah kesemua faktor diambil kira, 2014 MU69 merupakan calon yang paling sesuai.

Ia dijangka akan sampai pada 1 Januari 2019, lebih kurang 4 tahun sahaja daripada sekarang. Apabila sampai di sana, New Horizons masih mampu menggunakan saki baki tenaga yang ada untuk melakukan cerapan dan kajian yang berguna.

New-Horizons-trajectory-into-the-Kuiper-Belt-545x360

Kedudukan 2014 MU14 yang kebetulan berada pada laluan New Horizons, membolehkan ia dilawati pada tahun 2019 nanti. Kredit Alex Parker

2014 MU69 ini mempunyai orbit yang hampir sempurna bulat, dan satah orbitnya senget sedikit sahaja iaitu 2 1/2 darjah. Ini bermaksud objek ini masih tidak terganggu oleh mana-mana objek lain sejak sistem suria ini terbentuk 4.5 bilion tahun dahulu! Ia bolehlah dikatakan fosil yang menyimpan rahsia dan  suasana persekitaran awal sistem suria ini. Saiznya kecil iaitu 48km sahaja, atau antara 0.5% hingga 1% saiz Pluto sahaja.

Kawasan Gelang Kuiper ini pun masih banyak rahsia yang tidak diketahui. Walaupun sebelum ini, 2 buah kapal angkasa, Voyager 1 dan Voyager 2 telah pun melalui kawasan ini, kedua-duanya tidak melintasi sebarang objek (termasuk juga Pluto).

Destinasi terbaru ini pun sebenarnya bergantung kepada bajet NASA. Jika agensi angkasa ini masih ada duit lebihan, ia mungkin akan meluluskan kertas cadangan ini. Kita hanya akan tahu pada tahun 2016 nanti.

Apa pun, kita ucapkan selamat jalan kepada New Horizons. Walaupun ia mempunyai destinasi baru, tugasan utamanya sekarang ialah menghantar kembali data-data ketika ia melintasi Pluto pada Julai 2015 lepas.

Tak sabar nak menunggunya!

Rujukan

Tatkala senja menjelang … di Pluto!

$
0
0

MasyaAllah! Tengok sahaja gambar terbaru Pluto yang dimuat turun daripada New Horizons semalam!

Ini merupakan pandangan yang tidak terjangkau atau tidak terfikir oleh sesiapa pun sebelum ini!

Ia dirakam 15 minit selepas New Horizons melintasi Pluto,  ketika ia menoleh ke belakang dan merakam suasana keadaan planet kerdil ini daripada sudut yang berlainan.

… dan apa yang dilihat di sini, sungguh menakjubkan!

  • Suasana kawasan pergunungan ais Pluto yang mencecah ketinggian 3500 meter
  • Kawasan lapang yang diselaputi ais nitrogen (bukan ais air!)
  • Lapisan demi lapisan atmosfera yang mencapai ketinggian 100km!
  • Kawasan senja yang menghasilkan bayang-bayang gunung apabila cahaya matahari menyinari di celah-celah puncak gunung.

Malah, terlampau banyak benda yang ada di sini  hinggakan tak terungkap kata-kata melainkan ucapan #MasyaAllah

Inilah sebuah dunia yang terletak nuunn berbilion kilometer daripada bumi, yang menerima cahaya yang amat sedikit (serupa dengan waktu senja di bumi), namun mempunyai bentuk muka bumi yang begitu kompleks, dinamik dan hampir ‘serupa’ dengan apa yang kita lihat di bumi!

Kita lihat satu per satu foto yang ada ini.

nh-apluto-wide-9-17-15-final_0

Credits: NASA/JHUAPL/SwRI

Foto di atas dirakam ketika jarak New Horizons berada di sekitar 18,000 km daripada Pluto. Ia menunjukkan sebuah struktur permukaan yang sungguh kompleks. Saya cuba terangkan seringkas dan semudah mungkin supaya anda dapat menghayati sepenuhnya apa yang terpampang di sini.

Kawasan lapang yang dikenali dengan nama Sputnik Planum berada di sebelah kanan gambar, manakala kawasan 2 buah banjaran pergunungan berada di sebelah kiri, iaitu Norgay Montes (yang berada hampir dengan kawasan sempadan malam dan siang), dan Hillary Montes yang berada di ufuk.

Kembali kepada kawasan lapang Sputinik Planum, ke sebelah kanannya, kelihatan lagi kawasan muka bumi yang kasar tetapi seolah-olah dipotong-potong oleh glasier.

Anda kena klik pada foto di atas untuk mencapai saiz sebenar, barulah dapat lihat lebih jelas, lebih dekat. Jom klik!

nh-apluto-mountains-plains-9-17-15_0

Credits: NASA/JHUAPL/SwRI

Foto di atas pula ialah paparan lebih dekat di kawasan tengah-tengah antara Sputnik Planum (kanan) dan banjaran pergununan Norgay Montes dan Hillary Montes di kiri.

Kalau tanya orang kita di Malaysia, gambar atas ini sebiji macam air batu campur (ABC) 😉

“Gambar sebegini seolah-olah seperti kita berada di Pluto, meninjau-ninjau persekitarannya”, memetik kata-kata Alan Stern,  Penyelidik Utama New Horizons, dari  Southwest Research Institute, Boulder, Colorado. “Tetapi imej ini juga merupakan bonanza saintifik , mendedahkan butiran baru mengenai atmosfera, suasana dataran, pergunungan dan glasier di  Pluto.”

nh-apluto-low-haze-9-17-15-updated

Credits: NASA/JHUAPL/SwRI

Foto di atas ini lagi mengujakan. Kalau kita lihat bentuk bayang-bayang di kawasan malam dan siang itu, tajam-tajam semuanya. Ia sebenarnya bayang-bayang puncak-puncak gunung ais yang berada di sebelah atas foto, yang disinari cahaya matahari!

Selain itu, ada kelihatan kabus atau jerebu yang berada berhampiran dengan bayang-bayang puncak tersebut. Kehadiran kabus atau jerebu ini cukup menarik kerana ia menunjukkan ekosistem persekitaran Pluto seolah-olah sama seperti di bumi, iaitu di mana ketika awal pagi, kabus tebal di permukaan, dan setelah matahari semakin meninggi kabus/jerebu ini semakin panas dan menghilang atau naik lebih tinggi ke udara.

Cuma dalam kes Pluto ini, kabus dan jerebu ini bukanlah air, tetapi gas nitrogen!

nh-3flow-detail-annotated-9-17-15

Credits: NASA/JHUAPL/SwRI

Dalam gambar-gambar sebelum ini, sudahpun ada tanda-tanda kewujudan pergerakan ais atau glasier di permukaan Pluto. Foto terbaru di atas ini lebih jelas menunjukkan kesan pergerakan tersebut, dan menguatkan lagi keyakinan para saintis terhadap kejadian itu.

Kawasan ini ialah paparan lebih dekat di kawasan tandaan dalam foto asal ini.

Anak panah berwarna merah menunjukkan kesan laluan glasier yang bergerak dari kawasan pergunungan di sebelah kanan menuju ke kawasan rendah di kiri.

Anak panah biru menunjukkan kawasan hadapan aliran glasier ini, yang membentuk seperti selonggok ais berbentuk kawasan bulat.

Saya terjumpa foto di bawah ini, yang menunjukkan kesan pergerakan glasier yang sama, tetapi yang ini berlaku di Bumi, di benua Antartika! Lihat sahaja bagaimana kedua-dua di Bumi dan Pluto, hampir sama bentuknya.

Namun sekali lagi kita kena ingat, di Bumi, glasier itu terdiri daripada air ais, manakala di Pluto, ia merupakan ais Nitrogen!

craneglacier_ali_2012055

Aliran glasier Hektoria dan Green di Antartika. Sumber

Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Alan Stern, “Menghairankan, Pluto ini seakan-akan seperti Bumi, dan tiada siapa yang menjangkannya sebelum ini!”

Foto terbaru dari New Horizons ini dimuat turun menerusi kamera bernama MVIC (Multispectral Visible Imaging Camera). Ia mempunyai resolusi jauh tinggi berbanding gambar-gambar sebelum ini yang datang daripada kamera LORRI (Long Range Reconnaissance Imager).

Kamera LORRI seperti kamera point-and-shoot kita ini. Ia mempunyai resolusi 1024 piksel, berbanding MVIC yang mempunyai 5024 piksel.

Ia agak teknikal, dan jika anda ingin mengetahui lebih lanjut, boleh rujuk atikel yang ditulis oleh  Emily Lakdawalla ini.

Sebenarnya minggu lepas, telah pun keluar siri atau batch pertama foto-foto Pluto beresolusi tinggi, cuma saya tak berkesempatan untuk mengulasnya di sini, dan hanya sempat membuat pos ringkas di Facebook Page Falak Online.

Cuma suka nak dikongsi sedikit di sini, foto beresolusi tinggi bulan Charon. Lihat di bawah (Klik foto atau sini untuk mencapai saiz asal). Ciri permukaan yang terkecil yang boleh dilihat dalam foto ini adalah sekitar 4.6km.

Charon bukan sebarangan bulan. Jelas kelihatan permukaannya yang calar-balar. mungkin peninggalan kesan pembentukannya berbilion tahun dahulu. Belum ada lagi ulasan mengenai Charon ini dari para pengkaji dan saintis. Kita tunggu dan lihat dulu.

nh-charon_9-10-15

Credits: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Southwest Research Institute

Jika anda tidak sabar-sabar untuk lihat foto New Horizons (menerusi kamera LORRI) yang masih RAW dan belum diproses, bolehlah ke SINI untuk mendapatkannya.


Ibrah

 

Saya suka melihat penemuan-penemuan baru ini sebagai satu rangsangan dan melatih minda kita ini memikirkan kejadian di sekeliling kita. Kita sudah ‘terbiasa’ dengan keadaan sekeliling di bumi, dengan hujan dan panasnya, siang malamnya, kemunculan jerebunya dan pelbagai lagi, hinggakan ‘hilang’ rasa kagum terhadap yang menciptanya. Bak kata orang, dah lali.

Namun, sekali sekala apabila berita baru seumpama ini keluar, kita seolah-olah baru terkejut dari tidur, terpinga-pinga. Samada kita sedar atau tidak, keluarnya berita penemuan seperti ini akan diselang-seli dengan pelbagai jenis komen, ulasan dan komentar, daripada mereka yang cukup kagum hingga hanya perkataan zikir Subhanallah, MasyaAllah sahaja yang terungkap, hinggalah kepada mereka yang menolak mentah-mentah penemuan ini atas alasan masing-masing.

Biasalah itu, sesuatu yang amat asing pasti akan timbul 1001 persoalan. Namun, tanpa melihat dan meneroka alam, asyik dengan dunia sahaja, maka amat rugilah kita sebagai hamba Allah SWT yang dianugerahkan akal untuk berfikir. Malah lebih rugi lagi jika kita malas untuk berfikir kejadian ini, melihat ini dari pelbagai sudut dan ruang, tanpa ada sikap prejudis!

16 ayat dalam Al-Quran mempunyai perkataan Ulul-Albab . Allah SWT suruh kita jadi golongan yang suka lihat, fikir dan zikir (bak kata-kata Ustaz Shahrizan At-Turabi).

Memetik kata-kata Al-Kindi, Ilmuwan Islam berasal dari Baghdad, Iraq (Kurun ke-9), menerui buku 1001 Inventions – The Enduring Legacy of Muslim Civilization 3rd edition m/s 17.

“We ought not to be ashamed of appreciating the truth and of obtaining it wherever it comes from, even if it comes from races distant and nations different from us”

1834c7bd-4e1e-41f3-b350-bc00255de418

Wallahua’lam

28 Sep – Gerhana Bulan Penuh Perigee yang unik

$
0
0

Pada 28 September 2015 nanti, akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Penuh yang agak unik. Ia berlaku ketika Bulan berada dalam kedudukan Perigee.

Malangnya, ia tidak dapat dilihat di Malaysia. Namun begitu, ramai yang bertanya berkenaan gerhana bulan kali ini serta kaitannya dengan blood moon dan supermoon, maka saya sediakan sebuah artikel ringkas mengenainya.


Pada jam berapakah gerhana bulan ini akan berlaku?

 

Gerhana Bulan Penuh ini akan berlaku dari jam 8.11 Pagi hingga 1.22 Tengahari Waktu Malaysia.


Adakah gerhana ini boleh dilihat dari langit Malaysia?

 

Ia tidak dapat dilihat kerana ketika itu, Bulan berada di bawah ufuk (horizon) dan tidak kelihatan di langit.


Di negara manakah gerhana ini dapat dilihat?

 

Ia boleh dilihat dari negara India, Asia Tengah, Afrika, Eropah, dan seluruh benua Amerika.

Rajah bawah menunjukkan negara-negara di mana gerhana ini dapat dilihat.

Jika anda berada di dalam kawasan yang boleh nampak fenomena ini, saya syorkan untuk guna utiliti kiraan gerhana yang disediakan oleh timeanddate.com


Apa kaitannya dengan Blood Moon?

 

Istilah Blood Moon ini tiba-tiba popular beberapa tahun lepas. Ia sebenarnya dimulakan oleh 2 orang paderi Mark Blitz and John Hagee, yang merujuk kepada fenomena 4 kali gerhana bulan penuh berturut-turut (bermula tahun 2014 hingga 2015). Fenomena ini juga dikenali sebagai tetrad.

Sila rujuk artikel ini yang ada memberi pautan penerangan berkenaan isu blood moon dan tetrad ini.


Adakah wujud istilah Blood Moon dalam astronomi?

 

Di dalam bidang Astronomi, tiada fenomena rasmi yang dinamakan Blood Moon. Ia hanya gelaran sahaja yang berkaitan dengan kepercayaan agama Kristian yang dipopularkan oleh John Hagee.

Dalam masyarakat di Malaysia, orang-orang tua kita selalu mengatakan Bulan sedang sakit, setipa kali fenomena Gerhana Bulan Penuh berlaku. Ia mungkin merujuk kepada warna bulan yang menjadi kemerahan ketika gerhana.


Dengar cerita  Supermoon juga akan berlaku pada 28 September ini?

 

Pada 28 September ini nanti, Bulan akan berada dalam kedudukan Perigee, iaitu ia berada pada titik paling hampir dengan Bumi dalam pusingan orbitnya.

Maka, Bulan Penuh pada malam tersebut akan kelihatan besar sikit daripada kebiasaan.


Apakah istilah sebenar yang menggambarkan Bulan Penuh paling dekat?

 

Dalam konteks pengistilahan astronomi, jika Bulan Penuh berada pada kedudukan Perigee, iaitu paling hampir dengan Bumi, ia digelar Perigean Full Moon (Bulan Penuh Perigee)

Perbezaan saiz Bulan purnama ketika ia berada pada kedudukan Perigee dan Apogee. Sumber


Dari mana asal gelaran Supermoon?

 

Gelaran Supermoon tidak wujud dalam dunia astronomi. Ia dikatakan dipopularkan oleh seorang AHLI NUJUM (Astrologer), Richard Nolle pada tahun 1979. Menurutnya, supermoon bermaksud

“.. bulan baru atau bulan penuh yang berlaku ketika Bulan berada pada atau hampir (dalam lingkungan 90%) kedudukan paling hampir dengan Bumi dalam pusingan orbitnya …”

Perkataan ini tiba-tiba popular dan dikaitkan dengan saat ketika Bulan Penuh Perigee pada 19 Mac 2011. Selepas itu, setiap kali berlakunya Perigean Full Moon, nama supermoon terus muncul dan menjadi gelaran tidak rasmi dan begitu popular seluruh dunia.


Adakah supermoon suatu fenomena yang jarang berlaku?

 

Jika kita mengira pusingan fasa bulan dan saat di mana ia berada dalam kedudukan perigee, fenomena super- … errr …Perigean Full Moon ini akan berulang setiap 1 tahun 1 bulan 18 hari.


Kenapa FO anti sangat dengan istilah supermoon ini?

 

Bukannya anti sangat, tetapi saya secara peribadi berpendapat adalah lebih baik kita gunakan istilah sebenar bagi setiap fenomena di langit, walaupun ia tidak popular di kalangan masyarakat.

Lagipun istilah supermoon dipopularkan oleh seorang ahli nujum, kenapa perlu menyokong dan mempopularkan penggunaan istilah ini?

Selain itu, istilah blood moon pun tidak ada kaitan dengan dunia astronomi . Ia merupakan istilah yang dipopularkan oleh paderi Kristian menceritakan tentang akhir zaman menerusi kitab injil. Jadi, mengapa kita ni sebagai muslim,  menyokong penggunaan istilah ini?

Cuma perlu diakui hampir kesemua laman-laman web astronomi lain menggunakan istilah ini sebagai satu daya tarikan supaya orang ramai menyaksikan fenomena gerhana ini. Bak kata orang… “…it’s a losing battle..”


Apa yang istimewa berkenaan Gerhana Bulan kali ini?

 

Istimewanya fenomena 28 September ini ialah, Gerhana Bulan Penuh akan berlaku KETIKA Bulan berada dalam kedudukan Perigee. Ia digelar dengan nama Gerhana Bulan Penuh Perigee.

Fenomena ini jarang berlaku. Sejak tahun 1900, hanya ada 5 kali fenomena seumpama ini berlaku:

  • 17 Nov 1910
  • 27 Nov 1928
  • 8 Dis 1946
  • 19 Dis 1964
  • 30 Dis 1982

Penulis di laman UniverseToday, David Dickinson ada menyediakan sebuah jadual yang menyenaraikan fenomena Gerhana Bulan Penuh Perigee untuk sepanjang kurun ke-21.


Bolehkah kita mengikuti Gerhana Bulan Penuh 28 Sep 2015 ini menerusi online?

 

Kita boleh menonton gerhana ini menerusi laman web Virtual Telescope Project, yang akan memulakan siaran live pada jam 9 Pagi waktu Malaysia.


Bilakah fenomena Gerhana Bulan Penuh Perigee akan berlaku selepas ini?

 

Fenomena yang sama akan berlaku pada 8 Oktober 2033. Ketika itu dari Malaysia, kita akan dapat lihat Bulan dalam keadaan sedang gerhana ketika ia terbit pada waktu Maghrib.


Jika kita di Malaysia tak dapat saksikan fenomena gerhana ini, apakah yang sebenarnya kita akan lihat?

 

Pada 28 September 2015 itu nanti, kita akan dapat saksikan Bulan Penuh Perigee, iaitu fenomena Bulan Penuh terbesar dan paling terang untuk tahun 2015 ini.


Ada apa-apa kesan ke terhadap kita di Bumi?

 

Seperti mana ketika fasa Bulan Penuh yang lain, kita akan mengalami air pasang. Cuma dalam kes Bulan Penuh Perigee ini, air pasang ini dikenali sebagai Air Pasang Besar atau Perigean Spring Tide.

Sila rujuk penerangan ini.


Wallahua’lam

Rujukan

Air mengalir di Marikh!

$
0
0

Air mengalir di permukaan Marikh!

Saintis NASA misi ke Marikh akhirnya telah menemui bukti yang paling jelas dan kukuh kewujudan air di atas permukaan Marikh!

Menerusi kamera bernama HiRISE, yang dipasang pada satelit Mars Reconnaissance Orbiter, telah melihat garisan-garisan hitam yang kelihatan di celah-celah curam kawah dan ngarai di permukaan Marikh, berubah-ubah warna menjadi lebih gelap ketika musim ‘bunga’ dan musim ‘panas’ di sana.

ESP_034830_1670

Recurring Slope Lineae di kawasan Coprates Chasma. Sumber

Paling penting di sini ialah HiRISE (menerusi kajian spectroscopy) telah menemui bukti wujudnya garam di dalam garisan-garisan ini, seterusnya menunjukkan garisan ini wujud hasil aliran air yang ‘masin’ dalam waktu-waktu tertentu

Menurut Jim Green, Pengarah Sains Planetari NASA “.. air di atas permukaan Marikh ini wujud dalam keadaan tertentu dan ia bergantung kepada keadaan cuaca dan suhu di sana”.

Garisan-garisan yang digelar  Recurring Slope Lineae (atau RSL), ia telah pun  pertama kali dilihat pada tahun 2011. Namun begitu, walaupun ketika itu saintis sudah pun merasakan kesan-kesan garisan itu disebabkan aliran cecair, tetapi ia belum dapat dibuktikan secara pasti.

Lompat 4 tahun kemudian, hari ini 2015, setelah banyak pemerhatian dan pencerapan terhadap kawasan-kawasan yang mempunyai RSL ini, saintis telah dapat melihat perubahan bentuk garisan-garisan ini dengan begitu jelas.

Kini mereka boleh katakan dengan penuh yakin bahawa garisan-garisan RSL ini memang benar-benar bukti wujud aliran air di situ.

Menerusi gabungan foto-foto  di atas, kita boleh lihat sendiri kesan perubahan RSL ini. Jalur-jalur hitam ini kelihatan berubah warna menjadi gelap pada waktu-waktu musim tertentu.

Jalur-jalur RSL ini hanya beberapa meter lebar sahaja, tetapi panjangnya mencecah ratusan meter.

_85788201_perspective_6-1024x532

Bentuk garisan-garisan gelap, Recurring slope lineae yang menjalar beratus-ratus meter di cerun-cerun kawah. Kredit NASA/JPL/UA

Penting untuk faham di sini ialah penemuan air di sini dilakukan secara indirect atau tidak langsung, menerusi penemuan-penemuan RSL. Kita bukanlah nampak adanya aliran cecair di kawasan tersebut, ia hanyalah bekas laluan cecair, yang mana tertinggal di situ ialah kesan hydrated salts atau garam terhidrat.

“Kewujudan garam ini telah menunjukkan adanya air di situ sebelum ini. Ia membuktikan air memainkan peranan penting kewujudan garisan-garisan RSL ini”, kata Saintis Planetari, Alfred McEwen dari Arizona State University.

Penemuan ini bukan sahaja telah menjawab persoalan penting iaitu samada air wujud di Marikh atau tidak, tetapi ia sebenarnya membuka kepada soalan baru… “dari mana datangnya air ini?”

Menurut Ketua penyelidik Lujendra Ojha, pelajar siswazah dari Georgia Institute of Technology, “Kita masih belum mampu kenalpasti puncanya”

“Ia(air) mungkin terbentuk hasil pencairan ais samada di permukaan atau bawah permukaan, tetapi kewujudan ais di kawasan berhampiran kawasan khatulistiwa agak mustahil”, tambah Ohja.

(Atas: animasi menunjukkan perubahan RSL di sekitar kawah bernama Hale Crater di Marikh)

Apa yang saya faham di sini ialah, walaupun permukaan Marikh ini amat sejuk, namun di kawasan garisan Khatulistiwa yang menerima cahaya matahari lebih banyak berbanding kawasan lain, tidak memungkin ais wujud di permukaan. Maka, jika tiada ais, maka air tak mungkin terhasil. Oleh itu, perlu ada teori lain kepada persoalan dari mana asalnya air ini.

ESP_030373_1755

Recurring Slope Lineae di kawasan Juventae Chasma. Sumber

Menarik lagi di sini ialah, kemunculan air di Marikh ini bermusim. Umum mengetahui paksi Marikh senget 25 darjah (hampir sama dengan Bumi), maka ia pun mempunyai 4 jenis ‘musim’ seperti Bumi (cuma jangka waktu musim di sana 2 kali ganda lebih panjang berbanding kita di sini). Maka, ketika musim sejuk, kesan garisan RSL ini tidaklah sejelas dan seterang ketika musim panas.

Penemuan air ini pasti akan menyebabkan ramai bertanya kepada soalan yang paling popular, “adakah mungkin wujud kehidupan di dalam air tersebut?”

Saintis bagaimanapun tidak begitu yakin ada kehidupan dalamnya, kerana airnya sungguh masin (jumlah garam yang tinggi dan padat) dan tidak memungkinkan kehidupan wujud.

Penemuan ini adalah hasil daripada tinjauan bertahun-tahun satelit HiRISE Mars Reconnaissance Orbiter yang mengelilingi Marikh. Keupayaan kameranya yang mempunyai resolusi yang sungguh tinggi membolehkan kita menemui bukti paling kukuh akan kewujudan air.

Namun, untuk benar-benar pasti, kita perlukan wakil di sana! Jika manusia dapat menjejakkan kaki ke Marikh, ia bakal menjawab lebih banyak persoalan.

Buat masa ini, robot-robot yang sedang merayau-rayau di permukaan Marikh, seperti Curiosity, terletak jauh dari kawasan-kawasan yang ada RSL ini, dan tidak berupaya membuat kajian lebih terperinci.

Laman web foto-foto HiRISE yang berkaitan dengan RSL boleh didapati di sini.

Banyak lagi yang kena hadam daripada cerita ini. InsyaAllah saya cuba bawakan lagi penerangan terperinci dari semasa ke semasa.

Sementara itu, jom kita lihat beberapa tweet menarik yang dibuat apabila berita ini keluar tadi!

Kita minum dulu!

 

20 tahun dahulu – penemuan eksoplanet pertama

$
0
0
Larakan artis menunjukkan eksoplanet yang mengelilingi bintang 51 Pegasi. Sumber

Larakan artis menunjukkan eksoplanet yang mengelilingi bintang 51 Pegasi. Sumber

20 tahun dahulu, pada 6 Oktober 1995, ahli astronomi dari Swiss, Didiler Queloz dan Michel Mayor mengumumkan penemuan sebuah planet ‘seperti Musytari’ yang mengelilingi sebuah bintang ‘seperti matahari’. Bintang yang dimaksudkan di sini ialah 51 Pegasi yang terletak di dalam buruj Pegasus, mnakala eksoplanet tersebut diberi nama 51 Pegasi b.

Ini merupakan kali pertama sebuah eksoplanet dikesan mengelilingi sebuah bintang yang normal. Maksud bintang normal di sini ialah, bintang-bintang yang masih berada dalam jangka hayat yang stabil seperti matahari.

Walaupun sebelum tarikh tersebut, sudah ada eksoplanet yang ditemui mengelilingi sebuah bintang jenis pulsar, tetapi kita kena faham, bintang pulsar ini amat kecil dan terbentuk hasil letupan supernova dari bintang asalnya. Maka,  eksoplanet-eksoplanet seperti ini dipercayai terbentuk hanya selepas letupan tersebut.

Namun, ada sesuatu yang pelik bagi eksoplanet yang yang dikenali sebagai 5i Pegasi b ini. Walaupun secara fizikalnya, ia mempunyai saiz hampir sama dengan Musytari, tetapi ia mengorbit mengelilingi bintang dalam waktu yang singkat.. malah terlampau singkat, iaitu selama 4 hari sahaja!

4 hari! Ia jauh lebih pantas berbanding dengan planet terhampir dengan matahari, iaitu Utarid, yang mengambil masa 88 hari untuk melengkap satu pusingan orbit!

Jika 51 Pegasi b ini mengambil masa hanya 4 hari, ini bermakna ia berada hanya 8 juta km sahaja daripada bintangnya (berbanding Utarid yang berada 46 juta km daripada matahari).

Ketika penemuan ini, tiada siapa sangka sebuah ‘planet’ sebesar itu boleh berada begitu rapat dengan bintang yang diorbitnya! Namun, setelah ahli astronomi lain melakukan pengiraan dan cerapan lanjut, memang benarlah apa yang ditemui oleh Didiler Queloz dan Michel Mayor ini.

51 Pegasi b ditemui menggunakan kaedah ‘radial velocity’. Disebabkan kedua-dua, bintang dan eksoplanet tersebut mempunyai daya tarikan graviti masing-masing, maka menerusi pencerapan yang teliti, kita boleh lihat bagaimana interaksi gravtiti kedua-duanya yang menyebabkan bintang 51 Pegasi kelihatan ‘terhoyong-hayang’ seperti ditarik ke sana ke sini oleh sesuatu objek lain yang tidak kelihatan.

51_Peg_b_rv

Graf data pergerakan 51 Pegasi yang menunjukkan kehadiran objek lain yang mengorbitnya. Sumber

Pergerakan kecil ini boleh dikira dan hasilnya menunjukkan wujudnya sebuah eksoplanet di situ.

Boleh lihat video oleh Phil Plait mengenai kaedah radial velocity ini.

Sebelum penemuan 51 Pegasi b, ramai saintis menganggap sistem planet di bintang-bintang lain serupa dengan sistem suria kita, iaitu ada 4 buah planet berbatu, manakala jauh ke belakang, akan ada planet-planet gergasi yang bergas, seperti Musytari dan Zuhal.

Atas anggapan ini, mereka tidak menyangka sebuah planet gergasi bergas, boleh wujud begitu hampir dengan bintang yang diorbitnya!

Sekarang eksoplanet seumpama ini, yang dikenali sebagai hot Jupiters,  dipercayai  terbentuk jauh daripada bintangnya. Namun dalam jangka waktu jutaan tahun kemudian, ia telah perlahan-lahan telah bergerak menghampiri ke bintangnya.

Penemuan 51 Pegasi b ini telah memulakan satu era baru dalam kajian dan pemburuan eksoplanet. Hari ini, menerusi misi teropong angkasa Kepler yang dilancar pada tahun 2009, sudah lebih 1000 buah eksoplanet ditemui, dan lebih 3000 ‘calon’ lain yang menunggu pengesahan.

Bayangkanlah, sebelum 1995, hanya 9 buah planet sahaja yang kita kenal menerusi buku-buku dan majalah. Sekarang, hanya 20 tahun selepas itu, dengan menggunakan teknologi terkini dan pelbagai kaedah baru, kita bagaikan tak terkejar-kejar dengan kisah berita penemuan eksoplanet-eksoplanet ini.

Wallahua’lam


Rujukan

 


Ulasan Bumi Bergelap 15 Hari – Fakta atau Auta?

$
0
0

Sekali lagi, cerita mengenai Bumi akan bergelap muncul kembali di media sosial. Yang terbaru ialah sumber daripada qatarscoop , yang membawa tajuk “NASA CONFIRMS EARTH WILL EXPERIENCE 15 DAYS OF DARKNESS”

Ramai yang bertanya betul atau tidak.

Jawapan ringkas  –> Tidak. Ia adalah hoax (cerita palsu)

Jawapan panjang –>  Sila baca sampai habis artikel ini  (sekali dengan rujukan-rujukan yang disertakan sekali)

Ok jom baca.


Mana berita rasminya?

 

Merujuk kepada artikel di laman qatarscoop tersebut.

Screen Shot 2015-09-14 at 1.55.10 PM

Kalau jika tinjau sana sini, sehingga hari ini, tidak pernah ada mana-mana statement seumpama apa yang dikatakan oleh artikel berkenaan.

Jika benar ia akan berlaku, pasti sudah ada ulasan panjang lebar mengenainya, bukan sahaja daripada NASA (yang saya yakin ramai yang tak percaya, tapi yang peliknya kali ini ramai pula yang percaya), tetapi mesti ada yang datang daripada jaringan agensi angkasa negara-negara lain seperti ESA, JAXA, ANGKASA, LAPAN dan banyak lagi.

Selain itu, sudah pasti penyelidik dari universiti-universiti tersohor dunia akan turut mengeluarkan kertas kerja kajian atau abstrak penyelidikan serta mengulas dari sudut pandangan akademik. Malangnya, ia tak wujud.

Di samping itu, komuniti ahli astronomi amatur (yang bukan profesional) yang jumlah berpuluh ribu di seluruh dunia, yang mana mereka ini selalu mencerap langit setiap hari, akan turut mengulas dan memberi pandangan menerusi forum-forum perbincangan seperti cloudynights.com, iceinspace dan sebagainya, tetapi malangnya tiada seumpama ini.

Juga, laman-laman web majalah astronomi yang popular seperti skyandtelescope.com, astronomy.com, astronomynow.com , universetoday.com dan banyak lagi akan mengeluarkan artikel menjelaskan panjang lebar mengenainya (jika ia berlaku).. tetapi tiada satu pun yang mengulasnya.

Nanti ramai yang akan kata “alaaa.. ini semua konspirasi, disembunyikan cerita semua orang tak tahu”….Agak-agaknya lah, cuba kita fikir sikit… mampukah kita menyogok atau ‘membayar’ KESEMUA penggiat astronomi (profesional dan amatur) SELURUH DUNIA supaya diam dan ‘sembunyikan’ maklumat itu dari orang ramai?

Jika nak sembunyi pun, apa faedah yang mereka dapat? Lebih baik hebohkan kepada orang ramai, tulis buku, jual t-shirt mengambil ‘kesempatan’ terhadap ‘fenomena yang bakal berlaku’.

Persoalannya kenapa tiada statement daripada mereka?

Dan kenapa yang mengeluarkan cerita ini ialah hanya dari SATU sumber laman web (sumbernya dikatakan dari Newswatch33.com yang kalau kita tengok pun dah tahu ia bukanlah laman web berita yang boleh dipercayai!). dan juga laman web itu pun bukanlah fokus kepada dunia astronomi dan kaitan dengan kajian Sains Angkasa!

Jawapan yang paling jelas ialah FENOMENA INI TIDAK WUJUD.

Nota:Cerita hampir serupa 15 hari bergelap ini pernah keluar pada bulan Oltober 2014.


Kesan fenomena Venus dan Jupiter?

 

Untuk bahagian ni, saya mendapati ia tidak dimasukkan dalam screenshot yang banyak disebarkan dalam medium sosial , namun ia wujud dalam artikel asal laman web qatarscoop tadi. Apa pun, inilah apa yang diceritanya…

Screen Shot 2015-09-14 at 3.08.53 PM

Ia mengatakan berdasarkan “laporan” Charles Bolden tadi, Venus and Jupiter will engaged in a close parallelism, only being separated by 1 degree”

Di dalam Astronomi, tidak wujud fenomena yang merujuk kepada perkataan “paralleslism”.

Sila rujuk glosari astronomy seperti di sinisini dan sini.  Istilah tersebut tiada langsung dalam kamus astronomi, maka jelas penulis itu tidak tahu apa yang dia tulis!

Ok, ‘katalah’ apa yang penulis itu maksudkan ialah Venus dan Jupiter berada pada posisi yang dekat antara satu sama lain. Dalam disiplin Astronomi, istilah yang sebenarnya ialah conjunction .

Merujuk kepada artikel di atas, katanya, kedua-dua planet ini akan dipisahkan hanya 1 darjah sahaja.

Kiraan kedudukan planet-planet di langit boleh dibuat sendiri menggunakan pelbagai perisian astronomi yang ada, seperti Stellarium , Sky Safari , Google SkyMap, dan sebagainya.

Posisi objek-objek angkasa ini memang SEMUA SEDIA MAKLUM, dan boleh di double-check untuk SESIAPA SAHAJA.

Baiklah, dalam kes di atas saya telah membuat pengiraan kedudukan Venus dan Jupiter menggunakan Sky Safari Pro 4.

Disebabkan artikel itu tidak menyatakan dengan jelas tarikh sebenar Venus dan Jupiter berada pada kedudukan hampir tersebut, maka saya mulakan kiraan dari tarikh keramatnya iaitu 15 November 2015.

Screen Shot 2015-09-14 at 3.44.10 PM

Kedudukan Venus dan Jupiter pada Subuh, 15 Nov 2015 (langit Malaysia)

 

RAJAH ATAS: Pada tarikh 15 Nov 2015, waktu Subuh di Malaysia, Venus dan Jupiter dipisahkan sejauh 18 darjah antara satu sama lain. 18 darjah itu ialah 36 kali ganda diameter bulan di langit!

Sebesar mana 36 X saiz bulan penuh tu? Cuba tengok rajah di bawah ni…

Screen Shot 2015-10-08 at 1.44.12 PM

Itulah (atas) jarak antara Zuhrah dan Musytari pada 15 Nov 2015 nanti! Cuba bayangkan di langit, kita aturkan ‘Bulan Penuh’ sisi ke sisi sebanyak 36 buah bulan kesemuanya!

Kan jelas di sini betapa jauhnya Venus dan Jupiter pada tarikh di atas!

Screen Shot 2015-09-14 at 3.44.23 PM

Kedudukan Venus dan Jupiter pada Subuh, 29 Nov 2015 (langit Malaysia)

Kiraan seterusnya dibuat pada tarikh 29 Nov 2015 (tarikh akhir yang mana artikel itu katakan bumi akan bergelap). Kita akan dapati kedudukan Venus dan Jupiter berada 43 darjah antara satu sama lain.

43º tu bersamaan 86 kali ganda saiz Bulan Penuh!!

Maka, dalam artikel tu katanya kedua-dua planet ini terpisah 1º, itu bersamaan 2 kali ganda saiz bulan penuh je!

Oleh itu, jelas di sini, faktanya pun salah!

Kemudian ayat seterusnya menyatakan CAHAYA dari Venus akan memanaskan gas di Musytari!

Hmmm… di sini kena faham, cahaya Venus itu adalah PANTULAN daripada Matahari. Maka, ia TIDAK MENGELUARKAN HABA!

Lagpipun pada tarikh sekitar antara 15-29 Nov 2015 itu.

  • Jarak Venus ke Matahari = 0.884 AU = 125,660,000 KM
  • Jarak Venus ke Jupiter = 4.98 AU = 745,000,000 KM

Lagi Jauh jarak Venus ke Jupiter, berbanding Venus ke Matahari!

Maka itu, bagaimanalah pula ‘cahaya’ Venus boleh memberi memanaskan  planet yang berada 745000000 KM daripadanya!?

Fikir-fikirkan sendiri.


Matahari Biru!

 

Screen Shot 2015-10-08 at 4.02.53 PM

Kemudian artikel tu menceritakan bagaimana letupan matahari pada tarikh tersebut akan sampai ke Bumi pada jam 2.50 AM.

Hakikatnya di sini, kita TIDAK AKAN DAPAT TAHU bila letusan-letusan besar di matahari akan berlaku. Ia merupakan suatu fenomena yang random dan tidak boleh dijangka.

Cuba baca ARTIKEL INI dan perhatikan kenapa susah dan hampir mustahil untuk meramal letusan di matahari.

Itulah sebabkan adanya kajian ahli astronomi menerusi laman-laman web seperti Spaceweather.com yang memberi maklumat keadaan matahari terkini. Hanya apabila sesebuah letusan itu berlaku, dan menghala ke Bumi, barulah kita boleh meramalkan akan berlaku fenomena aurora kesan hentaman letusan itu.

Maknanya, kita hanya akan tahu SELEPAS melihat ia berlaku di matahari. Dalam kes artikel ini, dia boleh ramal masa depan! Hebat tu!

Lagi pening di sini (screenshot di atas), menyatakan Matahari AKAN BERTUKAR MENJADI WARNA BIRU selama 14 hari! dan selepas itu ia akan KEMBALI menjadi warna asal RED GIANT.

Ok, di sini kena faham, fasa bentuk Matahari kita sekarang BUKAN dalam bentuk Red Giant. Ia sekarang dalam fasa Main Sequence.

Nak senang kata, fasa Main Sequence ini seperti PERTENGAHAN UMUR, pada warna kekuningan. Kalau kita mempelajari mengenai jangka hayat bintang, kita akan dapati Matahari boleh berada dalam fasa ini sekitar 10-15 bilion tahun.

Selepas itu, ia akan menjadi warna jingga dan seterusnya mengembang besar menjadi Red Giant... itu pun selepas 10-15 bilion tahun akan datang!  Itulah perangai atau bagaimana sesebuah bintang hidup dan mati.

Jadi saya rasa pelik juga apabila dikatanya Matahari menjadi warna BIRU!  Padahal jika kita belajar perhial hayat sesebuah bintang,  warna BIRU itu bermakna bintang itu MASIH MUDA dan suhunya JAUH LEBIH TINGGI berbanding matahari kita sekarang, iaitu mencecah 10,000 hingga 50,000 Kelvin.

Maka, ayat di atas yang menyatakan Matahari menjadi sejuk disebabkan bertukar menjadi biru adalah SALAH dan PALSU.

Sila rujuk penerangan mengenai kaitan Warna Bintang dan Suhu di SINI.

Habis tu, kenapa ada gambar Matahari warna Biru seperti di atas?

Gambar tersebut diambil dari foto-foto rakaman teropong angkasa SOHO (Solar & Heliospheric Observatory), yang membuat rakaman dan mengkaji matahari setiap saat. Kalau kita lihat galeri foto SOHO, kita akan dapati ada banyak gambar matahari yang berlainan warna.

Screen Shot 2015-10-08 at 4.28.08 PM

Screenshot foto-foto matahari oleh SOHO. Sila klik pada gambar di atas untuk capaian ke laman web asal.

Warna yang berlainan itu disebabkan SOHO menggunakan penapis/filter yang berlainan untuk melihat ciri-ciri yang berlainan pada permukaan matahari.

Sila baca sini untuk penerangan lanjut.

Pendek cerita, bukanlah matahari menjadi biru, tetapi kamera satelit SOHO yang merakamnya, menggunakan penapis Biru.

Screen Shot 2015-10-08 at 4.32.16 PM

Atas: Artikel itu diakhiri dengan kononnya komen dari Charles Bolden menyatakan jangan risau, suhu hanya naik 6-8 darjah, sama seperti musim sejuk di Alaska.

Suhu naik? Tapi sama dengan musim sejuk di Alaska? Bukan ke contradict ayat tu?

Saya tak mahu ulas panjang 2 perenggan akhir tersebut kerana tidak ada kenyataan rasmi di mana-mana laman web pun mengenai perkara tersebut.


Kesimpulan

 

Cerita 15 hari bergelap ini menjadi viral kerana masyarakat kita mempunyai masalah kronik dalam membezakan cerita benar dan cerita palsu. Lebih teruk lagi, kita malas untuk membuat kajian dan bacaan terlebih dahulu.

Tanpa usul periksa, kita dah kelam kabut tekan butang Share, Forward dan seumpamanya.

Kesannya ialah masyarakat menjadi kelam kabut, risau tak tentu arah.

Saya sarankan, tak perlulah kongsi-kongsi cerita seumpama ini lagi. Cuba buka sikit hati, luaskan sikit pandangan dan rajinkan sikit diri untuk BUAT KAJIAN TERLEBIH DAHULU.  Tak faham, tanya kepada mereka yang ahli.

Janganlah BERHUJAH menggunakan FAKTA YANG SALAH.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

(Al-Hujuraat 49:6)

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberi input yang berguna untuk anda.

Wallahua’lam.

Penjelasan ringkas isu Retrograde Marikh

$
0
0

Screen Shot 2015-10-23 at 10.15.16 AM

Nampak gayanya, isu ini hidup kembali, dan dalam variasi baru dikaitkan dengan jerebu.

Buat masa ini saya sertakan dulu infografik ringkas mengenai isu Retrograde dan Marikh. InsyaAllah jika berkesempatan, saya akan menulis sekali lagi (tahun 2005 lepas pernah tulis juga) mengenai retrograde ini.

Secara amnya:

  1. Planet Jupiter dan Neptune tidak akan dapat menghalang matahari kerana orbitnya berada lebih jauh daripada orbit Bumi.
  2. Hanya planet Utarid dan Zuhrah sahaja yang boleh melintasi di hadapan matahari, dan itu pun tidak akan melindungi sepenuhnya. Ia dipanggil Transit.
  3. Hanya Bulan sahaja boleh menutupi matahari, menerusi fenomena Gerhana Matahari Penuh.
  4. Tak wujud ‘kajian NASA’ yang mengatakan “15 hari bergelap”
  5. Planet ‘jupitus’ tak wujud, yang wujud ialah ‘Jupiter’

 

  1. RETROGRADE TIDAK merujuk kepada PUSINGAN paksi sesebuah planet.
  2. RETROGRADE merujuk kepada PERGERAKAN planet ke arah barat apabila MERENTASI BURUJ-BURUJ apabila DILIHAT DARI LANGIT BUMIRETROGRADE boleh dilihat berlaku dengan MANA-MANA objek yang berada di belakang orbit Bumi (iaitu Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptune).
  3. Pergerakan matahari naik di timur, turun di barat merujuk kepada PUSINGAN PAKSI Bumi… BUKAN RETROGRADE.RETROGRADE berlaku apabila pergerakan Bumi dalam orbitnya yg lebih laju, mula memintas/memotong pergerakan planet2 lain yang lebih lambat (rujuk No.3)
  4. Contoh. setiap kali Bumi mula mengejar Marikh dalam orbitnya (lebih kurang 2 tahun 2 bulan), kita akan nampak pergerakan Marikh DI LANGIT menjadi RETROGRADE untuk beberapa bulan, dan kemudian normal kembali.
  5. Semua planet2 dari Marikh ke Neptune, akan kelihatan bergerak ke Timur (merentasi buruj-buruj) dan apabila Bumi ‘memotong’ planet2 ini barulah kita akan nampak ia bergerak sebentar ke Barat (merentasi buruj-buruj) untuk beberapa ketika sebelum ia kembali bergerak ke arah Timur.
  6. RETROGRADE TIDAK ADA KAITAN dengan PERGERAKAN Matahari di langit.

 

Saya merayu dan memohon kepada trigger-friendly keyboard warrior semua, sila faham dahulu konsep Orbit dan Pergerakan Objek-objek langit  sebelum kita menyebarkan maklumat yang salah (walaupun tujuannya ‘baik’) kepada orang ramai. Kecoh satu negara dibuatnya.

Jom Belajar Menjadi Masyarakat Berilmu

Asteroid 2015 TB145 datang menjenguk Bumi hujung bulan nanti

$
0
0
9AB60BAB-9968-4289-BB03-33D4EDD87AE0

Gambaran artis menunjukkan sebuah asteroid sedang melintasi Bumi (via Shutterstock)

Pada 1 November 2015 nanti, sebuah lagi asteroid bakal melintasi berhampiran dengan Bumi, dan buat beberapa ketika boleh dilihat menerusi teleskop-teleskop amatur dan juga profesional.

Dikenali dengan nama 2015 TB 145, ia akan berada pada kedudukan 1.3 kali ganda jarak ke Bulan, iaitu lebih kurang pada jarak 480,000 km sahaja.

Kira dekat lah tu!

Walaupun banyak asteroid lain yang sentiasa melintasi ‘ruang angkasa’ berhampiran dengan Bumi, asteroid 2015 TB145 ini ‘istimewa’ kerana ia akan menjadi asteroid paling besar (saiznya 400 meter) yang akan melintasi pada jarak yang hampir dengan Bumi, SEBELUM sebuah lagi asteroid 1999 AN10, yang lebih besar (800 meter) dan akan melintasi lebih hampir ( sama jarak dengan orbit Bulan) pada bulan Ogos 2027 nanti.

Maknanya, lepas ini akan ada yang besar lagi melintasi Bumi!

Menurut International Astronomical Union (IAU) Minor Planet Center, kali terakhir objek sebesar ini melintasi Bumi ialah pada Julai 2006 lepas, oleh asteroid 2004 XP14.

Asteroid 2015 TB145 ini ditemui menerusi teleskop PanSTARRS-1 (Panoramic Survey Telescope and Rapid Response System) kepunyaan University of Hawaii di Haleakala, Maui.

CFE4C3C4-4083-4A14-88B9-07F5F2CDC854

Balai cerap PanSTARRS-1 di Hawaii

Menurut Paul Chodas, pengurus bagi Center for Near Earth Object Studies di Jet Propulsion Laboratory NASA, trajektori atau laluan asteroid ini sudah boleh dikira dengan tepat, dan laluan tidak akan membawanya lebih hampir daripada jarak 480,000 km daripada Bumi.

FFB3FF22-E512-4032-919D-1D9418DCBC14

Laluan asteroid 2015 TB145 ketika ia meintasi Bumi pada 1 Nov 2015, 1:05 AM Waktu Malaysia (Image credit: NASA/JPL-Caltech)

 

Kenapa Lama Sangat Nak Jumpa?

 

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, bagaimana sebuah objek yang besar ini tidak ditemui sebelum ini? Dengan pelbagai program tinjauan langit (sky survey) yang beroperasi ketika ini, agak hairan kenapa 2015 TB145 tidak dijumpai lebih awal?

Jawapannya terletak pada bentuk orbitnya.

Asteroid 2015TB145 ini mempunyai bentuk orbit yang agak elips (tak bulat). Laluannya yang paling hampir dengan matahari berada di dalam kawasan orbit Utarid (maknanya ia akan berada lebih dekat dengan matahari berbanding Utarid pada ketika itu), dan pada titik paling jauh, ia berada pada lebih jauh daripada orbit Marikh.

Selain itu, satah orbitnya senget 40 darjah, dan sebahagian besar laluannya berada ke selatan daripada garisan ekliptik. Garisan ekliptik merupakan garisan laluan matahari apabila ia bergerak merentasi langit dalam masa satu tahun). Kalau ke selatan daripada garisan ekliptik, maka kebarangkalian untuk ia ditemui agak sukar, kerana tidak banyak balai cerap di negara hemisfera selatan yang ditugaskan memantau objek-objek seperti ini.

668A71B1-7FC6-4AB3-A82B-20A93F391B48

Orbitnya yang senget dan elips menyukarkan ahli astronomi mengesan asteroid 2015 TB145. NASA / JPL / Horizons


Ada Peluang Nak Melihatnya?

 

Pada saat ia berada paling hampir dengan Bumi, iaitu pada 1 November 2015, jam 1.05 AM Waktu Malaysia, ia akan bersinar pada magnitud 10.

Magnitud 10 ini amat kelam, nak senang cerita…

  •    Tidak boleh dilihat dengan mata kasar
  •    Mungkin boleh dilihat dengan Binokular (dari kawasan langit yang gelap)
  •    Boleh dilihat dengan Teleskop yang saiz sederhana.

Selain itu, untuk mencarinya, anda perlu mempunyai pengetahuan berikut:

  •    Teleskop berkomputer untuk memudahkan proses mencari
  •    Cara menggunakan perisian peta bintang yang boleh memuat turun kordinat terkini asteroid
  •    Penggunaan kamera untuk merakam objek malam.

Tapi jangan risau, kerana ketika asteroid ini berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi, ia TIDAK KELIHATAN DI LANGIT MALAYSIA!

Berdasarkan kiraan yang saya buat menerusi Sky Safari Pro, bermula dari terbenam matahari 31 Oktober 2015 hingga terbit matahari keesokannya, 1 Nov 2015, asteroid 2015TB145 ini akan SENTIASA BERADA DI BAWAH UFUK.

Maka, tak perlukan bersusah payah nak carinya!


Online Observation

 

Namun begitu, seperti biasa Gianluca Masi dari Virtual Telescope akan cuba memancarkan imej asteroid ini secara Live menerusi internet. Boleh klik link di bawah:

Kesimpulan

 

  1. Asteroid 2015TB145 merupakan asteroid bersaiz 400 meter yang akan melintasi Bumi pada jarak 1.3 kali ganda jarak Bulan.
  2. Asteroid ini tidak akan berlanggar dengan Bumi
  3. Asteroid ini tidak dapat dilihat dari langit Malaysia
  4. Asteroid ini agak kelam, dan perlukan teleskop besar dan berkomputer untuk menjejakinya

Rujukan

 

Ulasan pos viral Bulan mengelilingi Kaabah. (versi 2015)

$
0
0

Screen Shot 2015-12-04 at 11.01.45 AM

Tahun 2015 ini, keluar lagi pos viral mengenai Bulan mengelilingi Kaabah. Tanpa banyak cerita, sila rujuk jawapan balas saya di bawah. Ia juga dipos di facebook saya.

Semoga dapat memberi pencerahan.

48758b365f84d6fb4fdb57f8efebd49b

Gambar hiasan.Sumber

********************************************************

1) Bulan mengelilingi Bumi pada jarak purata menghampiri 400,000 km. Saiz Bulan dengan Bumi hanya 1/4 Bumi sahaja. Andaikata Bulan berada di hampir dengan permukaan Bumi, saiznya akan meliputi negara Australia. Jadi bagaimana ia ‘boleh mengelilingi Kaabah’?

2) Bulan juga ada mempunyai daya graviti namun tidak sekuat Bumi. Andaikata Bulan menghampiri Bumi, ia akan hancur terlebih dahulu kerana tiada upaya menahan kekuatan graviti Bumi.

3) Ayat yang menyatakan ‘kejadian’ ini berlaku setiap 100,000 tahun sekali tidak berdasarkan mana-mana kajian pun.

4) Kalau jika tinjau sana sini, sehingga hari ini, tidak pernah ada mana-mana statement seumpama apa yang dikatakan oleh artikel berkenaan.

5) Jika benar ia akan berlaku, pasti sudah ada ulasan panjang lebar mengenainya, bukan sahaja daripada NASA (yang saya yakin ramai yang tak percaya), tetapi mesti ada yang datang daripada jaringan agensi angkasa negara-negara lain seperti ESA, JAXA, ANGKASA, LAPAN dan banyak lagi.

6) Selain itu, jika ‘ia berlaku’ sudah pasti penyelidik dari universiti-universiti tersohor dunia akan turut mengeluarkan kertas kerja kajian atau abstrak penyelidikan serta mengulas dari sudut pandangan akademik, yang mana kita sendiri boleh cross-check maklumat tersebut. Malangnya, ia tak wujud.

7) Di samping itu, komuniti ahli astronomi amatur (yang bukan profesional) yang jumlah berpuluh ribu di seluruh dunia, yang mana mereka ini selalu mencerap langit setiap hari, akan turut mengulas dan memberi pandangan menerusi forum-forum perbincangan seperti cloudynights.com, http://www.iceinspace.com.au/ dan sebagainya, tetapi malangnya tiada seumpama ini.

8) Juga, laman-laman web majalah astronomi yang popular seperti skyandtelescope.com, astronomy.com, astronomynow.com , universetoday.com dan banyak lagi akan mengeluarkan artikel menjelaskan panjang lebar mengenainya (jika ia berlaku).. tetapi tiada satu pun yang mengulasnya.

9) Juga, sila lihat sendiri LIVE feed dari Tanah Suci di http://makkahlive.net/ dan boleh lihat sendiri apa yang berlaku di sana.

10) Cerita seumpama ini juga pernah keluar tahun 2011 lepas, dengan variasi lain sikit. Nama Dato’ Mazlan Othman naik masa tu.

11) Saya pernah mengulas isu ni tahun 2011 http://www.falak-online.net/portalfalak/bulan-keliling-kaabah-pulak-dah

12) ANGKASA dah pernah keluar statement pada tahun 2011 di sini https://www.facebook.com/notes/agensi-angkasa-negara-angkasa/bulan-mengelilingi-kaabah/251976368158509

13) Maka kesimpulannya, cerita ini adalah tidak benar kerana ia sama taraf dengan cerita mengenai
kiamat 2012, http://www.falak-online.net/portalfalak/bumi-bergelap-3-hari-satu-penjelasan-ilmiah
dunia bergelap 15 hari, http://falakonline.net/semesta/2015/10/ulasan-bumi-bergelap-15-hari-fakta-atau-auta/
isu 3 hari bergelap akibat solar storm, http://falakonline.net/semesta/2014/10/ulasan-kepada-isu-3-hari-bergelap-dan-kaitan-dengan-solar-storm/
sinaran kosmik dari marikh,
2 matahari di Kanada, http://bit.ly/2mataharikanada
retograde Marikhdan kesan putaran bumi, http://bit.ly/marikhretograde
marikh akan jadi sebesar bulan. http://falakonline.net/semesta/2014/08/wow-27-ogos-2014-ini-marikh-akan-jadi-sebesar-bulan-best-nye-ye-ke/
..dan banyak lagi…
Semua cerita ini bertaraf hoax, atau dalam bahasa kita ‘tahyul’.

14) Kejadian alam semesta ini ada susun aturnya, undang-undangnya, sunnatullah. Undang-undang ini wujud untuk kita memerhati, belajar dan kagum dengan kehebatan Pencipta alam ini, menerusi ayat-ayat manzurah. Baca dan amal ayat Ali-Imran 190 & 191, dan mudah-mudahan kita menjadi hambaNYA yang bertaqwa.

Sekian dimaklumkan
Wallahua’lam

 

Gerhana 2016 – Sudahkah anda bersedia? 6 soalan penting untuk dijawab

$
0
0
OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ustaz Zainuddin dari Jabatan Mufti Perak ketika cerapan gerhana matahari di Jiaxing, China 2009

9 Mac 2016 akan menyaksikan sebuah lagi fenomena Gerhana Matahari yang akan melintasi sebahagian besar Asia Tenggara (termasuk Malaysia) dan bagi rakan-rakan kita di Indonesia, mereka berpeluang menyaksikan Fasa Gerhana Matahari Penuh, yang mana matahari akan hilang dari pandangan buat beberapa minit dan kemudian muncul kembali, semuanya dalam keadaan ‘tiba-tiba’ atau ‘mengejut’.

Kalau diikutkan kiraan kasar, tinggal 78 hari sahaja lagi untuk sampai ke tarikh tersebut.

Maka untuk siri kedua artikel-artikel berkaitan Gerhana Matahari Penuh 2016 ini, saya kemukakan beberapa persoalan berikut yang mungkin boleh membantu anda mencongak sejauh mana persediaan anda setakat ini!


Soalan 1: Lokasi

 

Adakah anda sudah memilih lokasi pilihan nanti? Adakah anda akan mencerapnya dari Malaysia sahaja? Atau adakah anda sudah memilih lokasi yang terbaik di Indonesia?

Jika anda mencerap di Malaysia, anda hanya akan dapat menyaksikan fasa gerhana matahari separa sahaja. Langit tidak akan gelap, dan anda wajib menggunakan cermin mata khas atau penapis matahari untuk melihat fasa gerhana tersebut.

Jika anda mencerap di Indonesia, anda berpeluang menyaksikan gerhana ini dalam fasa penuh. Langit akan menjadi gelap seketika seperti sekitar waktu antara maghrib dan Isya. Ketika itu kita boleh lihat dengan mata tanpa perlukan apa-apa penapis matahari.


Soalan 2: Tiket kapal terbang

 

Capture1

gambar hiasan

Jika anda bercadang untuk mencerap dari Indonesia, sudahkah anda membuat tempahan awal tiket kapal terbang ke sana? Air Asia? MAS?

Pastikan anda memilih tarikh yang mencukupi untuk membuat persediaan apabila sampai di lokasi. Sebagai contoh, InsyaAllah saya akan sampai ke Indonesia 2 hari sebelum gerhana, yang membolehkan sekurang-kurangnya ‘bernafas’ sedikit dan boleh tinjau-tinjau keadaan di sana.

Tempahan awal juga penting jika anda mahukan harga yang murah dan berpatutan. Semakin menghampiri ke tarikh gerhana ini, semakin mahal harganya nanti. Kena cepat!


Soalan 3: Penginapan

 

Screen Shot 2015-12-22 at 4.50.14 PM

Bagaimana pula dengan penginapan? Adakah anda sudah menempah hotel-hotel yang sesuai dan selesa di sana nanti? Kita kena faham bahawa peminat astronomi seluruh dunia akan turun padang ke Indonesia menyaksikan fenomena ini. Maka kena cepat booking sekarang, takut-takut hotel semua dah penuh.


Soalan 4: Persediaan rohani

 

muslimah berdoa

Gerhana Matahari Penuh merupakan satu fenomena alam yang Allah SWT reka dan susun khas untuk kita menghayati dan mendapat pengajaran darinya. Jika kita sekadar pergi dengan tanpa ilmu, alangkah ruginya!

Sebelum pergi, lebih elok kita lihat kembali sebab musabab kejadian langit dan bumi ini berlaku, supaya tidaklah nanti keluar pelbagai spekulasi dan teori yang mengelirukan masyarakat.

Dapatkanlah maklumat daripada yang ahlinya.


Soalan 5: Persediaan fizikal.

 

Gerhana kali ini berlaku 1atau 3 jam selepas matahari naik (bergantung kepada lokasi). Ini bermaksud kita kena berada di lokasi cerapan pada malam sebelum berlakunya gerhana, atau sebelum subuh. Maka buatlah persediaan yang secukupnya.  Makan vitamin banyak-banyak.


Soalan 6: Persediaan peralatan cerapan

 

Penulis bersama Dr.Rowi ketika trip gerhana matahari di Jiaxing, China 2009

Adakah anda akan sekadar melihat gerhana dengan mata? Atau mungkin anda bercadang untuk merakamnya? Adakah alat-alat rakaman yang ada sekarang ini memadai untuk merakam fenomena gerhana? Sudahkah anda membuat latihan secukupnya bersama-sama dengan alat tersebut?

Persediaan dan latihan amat penting kerana waktu fasa gerhana matahari penuh ini amat singkat dan seeloknya jangan dipersiakan akibat daripada kurang persediaan.

InsyaAllah bersambung…

Viewing all 396 articles
Browse latest View live